Lelaki jadikan rumah makmal dadah bukan ahli sindiket

Anbalagan menunjukkan peralatan memproses dadah yang dirampas dari rumah suspek dalam pemeriksaan yang dibuat malam kelmarin.
Anbalagan menunjukkan peralatan memproses dadah yang dirampas dari rumah suspek dalam pemeriksaan yang dibuat malam kelmarin.
A
A
A

BALIK PULAU - Lelaki yang melarikan diri selepas kegiatan memproses dadah di rumah sewanya di Jalan Paya Terubong, Bayan Lepas terbongkar, dipercayai bukan ahli sindiket tetapi bergerak sendiri.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, suspek disyaki baru berjinak-jinak dalam memproses dadah berdasarkan perkakas memproses dadah yang dijumpai ketika operasi memadam kebakaran di rumah tersebut.

Menurutnya, lelaki tersebut telah melarikan diri sejurus anggota bomba memecahkan pintu rumahnya selepas menerima panggilan kecemasan dari jiran suspek.

"Dalam kejadian jam 9 malam kelmarin, polis telah ke sebuah rumah selepas menerima maklumat bahawa berlaku kebakaran di sebuah rumah di sini. Hasil pemeriksaan, ia bukan kejadian kebakaran sebaliknya asap yang dihasilkan dari 'dapur memasak dadah'.

"Ketika bomba tiba, lelaki itu sedang tidur dalam rumah tersebut dipercayai sedang khayal. Bagaimanapun, dia sempat mengambil sebuah beg galasnya lalu melarikan diri. Identiti suspek berusia lingkungan 40-an itu sudah dikenal pasti dan polis sedang giat memburunya," katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, suspek menyewa di rumah berkenaan sejak Disember tahun lalu melalui perkhidmatan ejen.

"Kita percaya, dia mula memproses dadah sejak sebulan lalu. Berdasarkan peralatan yang ditemui, dia baru berjinak-jinak dalam memproses dadah. Maklumat awal, dia bergerak sendiri dan bukan ahli sindiket, namun siasatan masih dijalankan.

"Dari keterangan jiran suspek, mereka sering menghidu bau busuk dan tidak menyenangkan dari rumah suspek sejak beberapa minggu lalu namun tidak mengesyaki apa-apa.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, dalam kejadian malam kelmarin, jirannya mula panik selepas mendapati kepulan asap tebal keluar dari rumah suspek lalu memaklumkan kepada pengawal keselamatan. Pegawai keselamatan yang menerima maklumat tersebut terus menghubungi bomba untuk bantuan," katanya.

Anbalagan berkata, pemeriksaan di rumah suspek menjumpai beberapa peralatan memproses dadah antaranya dapur memasak dadah dan pelbagai jenis asid.

"Kita turut menjumpai dadah jenis syabu yang telah siap diproses seberat 13.3 gram dan cecair methamphetamine oil seberat 28.173 kilogram," katanya.