LHDN tak siasat, audit individu isytihar cukai sukarela

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Orang ramai yang menyertai Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) tidak akan diaudit dan disiasat lagi oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, malah pihaknya menerima pengakuan berkenaan secara 'suci hati' dengan mengambil kira kesungguhan mereka yang menyertai program berkenaan.

"Sekiranya pengakuan mereka secara sukarela itu diterima oleh LHDN, maka pada masa akan datang tempoh yang dilaporkan itu tidak akan disemak lagi," katanya kepada Sinar Harian selepas Program Asprisasi LHDN di Hotel Majestic di sini semalam.

Dalam pada itu, Sabin menyeru orang ramai yang belum berbuat demikian supaya mengambil peluang berkenaan.

"Kepada mereka yang layak dikenakan cukai di negara ini, datang dengan sukarela untuk buat pelaporan dan membayar cukai kepada kerajaan, kerana sumbangan anda sangat dihargai.

"Bukan sahaja oleh LHDN malah kutipan itu nanti kerajaan akan salurkan kembali untuk tujuan program pembangunan dan menyediakan prasarana dan juga untuk infrastruktur rakyat," kata beliau.

PKPS yang telah diumumkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng melalui pembentangan Belanjawan 2019 merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan dalam melakukan reformasi percukaian bagi menggalakkan pembayar cukai tampil secara sukarela mengisytiharkan pendapatan dan seterusnya berupaya mengurangkan ketirisan hasil negara.

Sementara itu, tempoh fasa pertama PKPS dengan kadar penalti 10 peratus daripada jumlah cukai yang dikenakan, akan dilanjutkan sehingga 30 Jun 2019.

Artikel Berkaitan:

Fasa kedua PKPS dengan kadar penalti 15 peratus daripada jumlah cukai dikenakan pula akan bermula pada 1 Julai 2019 dan tamat pada 30 September 2019.

Dalam pada itu mulai 1 Oktober 2019, kadar penalti sebanyak 45 peratus ke atas akan dikenakan bagi mana-mana kesalahan tidak mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) serta bagi kesalahan melaporkan cukai pendapatan yang berkurangan.

PKPS memberi fokus utama kepada pembayar cukai yang mempunyai akaun bank di luar negara serta mempunyai pendapatan yang dijana dari dalam Malaysia namun belum melaporkannya kepada LHDN.