Curi motosikal guna spanar T

Azri (kiri) menunjukkan barangan rampasan Op Lejang di IPD Pontian.
Azri (kiri) menunjukkan barangan rampasan Op Lejang di IPD Pontian.
A
A
A

PONTIAN - Tiada kunci tambahan dan lebih teruk lagi meninggalkan kunci pada motosikal antara sikap cuai pemilik yang dikenalpasti menjadi punca utama kes kecurian di daerah ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, Deputi Superintenden Azri Noraini berkata, berdasarkan siasatan terhadap suspek, mereka menyatakan ada pemilik yang meninggalkan kunci pada motosikal dengan sengaja.

Katanya, keadaan itu memberi peluang kepada penjenayah untuk mencuri malah memudahkan mereka melarikan motosikal.

“Kes curi motosikal penyumbang utama kepada peningkatan indeks jenayah di Pontian. Hasil soal siasat ke atas suspek yang diberkas, mereka mengakui pemilik cuai dan meninggalkan kunci pada motosikal mereka.

“Selain itu, pemilik tidak memasang kunci tambahan, letakkan motosikal di ruang gelap juga antara sifat cuai pemilik motosikal,” katanya.

Spanar T yang dipercayai digunakan suspek untuk menghidupkan suis motosikal.
Spanar T yang dipercayai digunakan suspek untuk menghidupkan suis motosikal.

Katanya, polis berjaya menangkap lima suspek kes curi motosikal termasuk seorang warganegara Vietnam menerusi Op Lejang yang dijalankan, baru-baru ini.

“Berdasarkan maklumat orang awam dan hasil risikan selama tiga bulan, Op Lejang di Pekan Nanas telah dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian.

Artikel Berkaitan:

“Suspek berusia 24 hingga 37 tahun ditangkap. Empat daripada mereka mempunyai jenayah lampau dadah.

“Kesemua suspek direman selama lapan hari bermula pada 6 April lepas disambung reman selama empat hari lagi, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan,” katanya di IPD Pontian di sini, semalam.

Antara barang yang dirampas daripada suspek ialah sebuah motosikal Honda Wave 100, sebuah motosikal Yamaha 123LC, satu rangka motosikal, sebuah motosikal elektrik dan sebatang spanar T.

“Modus operandi kaki curi cukup mudah iaitu hanya menggunakan spanar berbentuk T bagi menghidupkan suis motosikal.

“Hasil curi akan dijual kepada pembeli dengan harga serendah RM200 bagi sebuah motosikal. Pembeli biasanya akan meleraikan komponen motosikal curi untuk dijual di pasaran,” katanya.