Masa untuk memperkasakan SPR

A
A
A

SURUHANJAYA Pilihan Raya Malaysia (SPR) ditubuhkan pada 4 September 1957 di bawah Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.

Secara umumnya, SPR mempunyai tiga fungsi utama seperti yang termaktub dalam Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, iaitu mengkaji dan mempersempadankan semula (jika perlu) kawasan-kawasan pilihan raya Parlimen dan negeri pada setiap, tidak kurang daripada lapan tahun selepas tarikh siapnya urusan kajian dan persempadanan semula yang terdahulu; menjalankan urusan pendaftaran pemilih dan semakan daftar pemilih serta melaksanakan pilihan raya umum atau kecil.

Berdasarkan kepada ketiga-tiga fungsi SPR yang disebutkan tadi, SPR sebenarnya memerlukan lebih banyak kuasa untuk bertindak ke atas sebarang pelanggaran atau kesalahan pilihan raya.

Mandat yang diberikan kepada SPR pada hari ini adalah sangat terhad kepada perkara-perkara berkaitan melaksanakan dan menguruskan hal ehwal pilihan raya, namun tidak pula diberikan kuasa untuk menyiasat dan mendakwa sebarang salah laku berkaitan pilihan raya.

Maka disebabkan itu, SPR sering dilihat sebagai harimau tidak bertaring. Hanya mampu melihat, memerhati dan menegur tetapi tidak mampu untuk berbuat apa-apa.

Maka, kerajaan harus memandang serius cadangan Pengerusi SPR bahawa SPR perlu diberikan lebih kuasa untuk melaksanakan tugasnya dengan lebih baik dan efisien.

Buat masa ini, SPR hanya mampu untuk membuat laporan kepada polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika terdapat sebarang salah laku berkaitan pilihan raya.

Hanya polis atau SPRM yang mempunyai kuasa untuk menyiasat, menangkap dan mendakwa (melalui Jabatan Peguam Negara) sebarang salah laku berkaitan kesalahan pilihan raya.

Artikel Berkaitan:

Ini membuatkan SPR begitu lemah dalam memastikan tiada sesiapa pun yang berani mempermainkan undang-undang pilihan raya.

Perkara 114(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah mengambil perhatian tentang betapa mustahaknya SPR untuk mendapat kepercayaan awam ketika melantik anggota SPR.

Biarpun Perkara 114(2) ini tidak memperuntukkan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk membolehkan SPR menjalankan kuasa menyiasat dan mendakwa kesalahan-kesalahan pilihan raya, namun kita boleh mengambil prinsip yang terkandung dalam Perkara 114(2) tersebut, iaitu kepentingan SPR untuk mendapat kepercayaan orang awam.

Walaupun SPR mempunyai kuasa untuk membuat peraturan-peraturan berkenaan pilihan raya di bawah Seksyen 15 (pendaftaran pemilih) dan Seksyen 16 (perjalanan pilihan raya) Akta Pilihan Raya 1958, serta mempunyai fungsi kuasi-kehakiman (quasi-judicial) untuk menjalankan proses pendengaran awam mengenai semakan daftar pemilih (Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002), namun ini masih belum mencukupi dalam memberikan punca kuasa kepada SPR untuk menyiasat kesalahan-kesalahan pilihan raya.

Oleh itu, Akta Pilihan Raya 1958 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 perlu dipinda agar SPR diberikan lebih kuasa sebagai badan yang berkuasa untuk menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pesalah laku pilihan raya dengan adil dan saksama.

Kita percaya, dengan kepimpinan Azhar Azizan Harun sebagai pengerusi, insya-Allah SPR akan menjadi sebuah badan yang berwibawa.

Penubuhan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) pada 16 Ogos tahun lalu untuk mengkaji mengenai bidang kuasa dan memperkasakan SPR adalah satu tindakan yang sangat dialukan-alukan.

Namun, sehingga kini kita masih belum mendengar sebarang berita baik daripada ERC mengenai cadangan memperkasakan SPR.

Walaupun kita faham kerja-kerja ERC ini memerlukan penelitian mendalam dan diberikan masa dua tahun untuk menyiapkan tugasnya, namun rakyat masih berharap agar ERC dapat memberikan sedikit khabar mengenai perkembangan kajian mereka.

Diharapkan agar SPR dapat diperkasakan dan diberikan mandat baharu yang lebih kuat.

* Haeme Hashim ialah peguam di Haeme & Co