Jenazah lima sahabat selamat dikebumi

5maut
5maut
A
A
A

IPOH - Hujan renyai mengiringi pengebumian lima sahabat yang terkorban dalam tragedi kebakaran sebuah rumah kedai di kawasan perindustrian Jelapang Maju, semalam.

Mohammad Nor Ikram Mohd Husni, 15; Mohamad Ekmal Izzuddin Mohamad Kamari, 16; Mohammad Nuraiman Abdul Rahman, 16; Ahmad Faizal Aminuddin, 16, masing-masing pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menglembu dan Muhamad Azhar Shah Rosli, 19, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Pari pada jam 8 malam tadi.

Sebelum itu, semua jenazah disembahyangkan di Masjid Idrisiah Kampung Kuala Pari oleh lebih 100 jemaah.

Mayat kesemua mangsa dibenarkan dituntut ahli keluarga sekitar jam 5 petang tadi selepas proses bedah siasat selesai pada jam 3.30 petang.

Kesemua jenazah dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada jam 6.10 petang menggunakan lima van jenazah diiringi polis.

Kira-kira 300 orang terdiri ahli keluarga, rakan dan penduduk kampung hadir memberi penghormatan terakhir kepada mangsa.

Turut hadir, Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh dan Adun Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari.

Suasana pilu dan tangisan ahli keluarga kedengaran sebaik jenazah dimasukkan ke liang lahad.

Artikel Berkaitan:

Bapa mangsa, Abdul Rahman Bahak, 45, menyatakan rasa syukur apabila semua proses bedah siasat dan pengecaman dapat diselesaikan dalam tempoh satu hari.

Katanya, ahli keluarga diminta untuk membuat ujian DNA dan membawa bersama laporan pergigian untuk membantu kenal pasti identiti mangsa.

"Kalau tunggu hasil DNA, mungkin kena tunggu seminggu, itu yang kami risaukan, alhamdulillah kami sudah dibenarkan tuntut jenazah dan sempurnakan pengebumian hari ini," katanya.

Dia dan ahli keluarga lain dimaklumkan oleh polis untuk menuntut jenazah di Jabatan Forensik HRPB sekitar jam 4.45 petang.

Aminuddin Tan, 50, pula berkata, sebaik selesai proses dokumentasi, dia dan isteri dibenarkan melihat jenazah anaknya di HRPB.

"Kami semua lega apabila urusan menuntut jenazah dapat dilakukan hari ini," katanya.

Dalam kejadian 1.50 petang, semalam lima rakan baik yang bekerja sambilan sempena cuti sekolah itu ditemui rentung dalam kebakaran yang berpunca daripada bahan letupan.

Turut terkorban, pemilik premis, P Thiagarajan, 40, ketika kejadian mereka dipercayai sedang membuat persiapan krismas di tingkat atas bangunan.