Warga emas tinggal sebatang kara di rumah pusaka usang

Arifin Ibrahim, 77, menunjukkan keadaan atap rumahnya yang melopong kepada wakil Koperasi Prestij Melaka Berhad (KOPRESTIJ), di rumahnya di Kampung Punggor, Padang Sebang, Gadek, di sini.
Arifin Ibrahim, 77, menunjukkan keadaan atap rumahnya yang melopong kepada wakil Koperasi Prestij Melaka Berhad (KOPRESTIJ), di rumahnya di Kampung Punggor, Padang Sebang, Gadek, di sini.
A
A
A

ALOR GAJAH - Rumah papan usang dalam keadaan atap zink banyak yang rosak, manakala kayu dindingnya sudah reput menjadi tempat berteduh seorang lelaki warga emas, Arifin Ibrahim, 77, sejak hampir 20 tahun lalu.

Meski tidak selesa, menurut Arifin, dia tiada pilihan, selain menetap di rumah berkenaan yang menjadi pusaka peninggalan arwah ibu dan ayahnya di Kampung Punggor, Padang Sebang, Gadek di sini.

Apa yang menyedihkan, sebahagian besar lantai rumah berkenaan terutama bahagian dapur sudah tidak boleh dipijak lagi akibat dimakan anai-anai sekaligus mendedahkan penghuninya dari risiko bahaya.

Menurut Arifin, yang juga bekas pengerusi tetap UMNO Cawangan Tebrau, Johor, dia pernah bekerja dengan sebuah syarikat perkapalan di Singapura dan kini hidup bersendirian di rumah usang berkenaan selepas berhenti kerja.

"Semua tujuh adik beradik yang lain sudah mempunyai rumah dan tinggal di tempat lain dan hanya saya sahaja tinggal di rumah pusaka ini.

"Kini saya meneruskan kehidupan tanpa pendapatan tetap dan menghidap penyakit kencing manis, baru dua minggu menjalani pembedahan memotong dua jari kaki kanan, akibat penyakit itu," katanya ketika dikunjungi Koperasi Prestij Melaka Berhad (KOPRESTIJ), diwakili Penasihat Eksekutif Amir Hamzah Aziz dan Presidennya Maznah Ibrahim.

Arifin Ibrahim
Arifin Ibrahim

Arifin berkata, dia sudah dua kali gagal dalam perkahwinan dan dikurniakan dua anak, lelaki dan perempuan namun sudah lama tidak menemui mereka.

Artikel Berkaitan:

"Anak lelaki sulung saya sudah berusia 50 tahun, saya tidak jumpa sejak dia berusia 12 tahun lagi, manakala anak perempuan saya kini berusia 39 tahun. Kali terakhir saya jumpa dia ketika majlis nikahnya di Cheras, Kuala Lumpur, kira-kira tahun 2004.

"Saya tidak akan mencari anak-anak, kerana saya tahu mereka ada kehidupan sendiri," katanya yang menerima bantuan makanan bulanan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300.

Arifin berkata, sebelum dua jari kaki kanannya dipotong, dia berusaha sendiri membaiki kebocoran atap dan kerosakan lain, menerusi wang simpanan dan pemberian penduduk.

"Bumbung dah rosak teruk dan bocor, kayu-kayu juga reput dan lantai dapur tidak boleh dipijak.

"Bimbang juga apabila nak ke dapur, takut lantai runtuh," kata Arifin.

Keadaan rumah pusaka yang didiami Arifin di Kampung Punggor, Padang Sebang, Gadek.
Keadaan rumah pusaka yang didiami Arifin di Kampung Punggor, Padang Sebang, Gadek.

Ekoran itu, Arifin melakukan kerja memasak di ruang tamu rumah, dan di ruangan itu jugalah menjadi tempat dia tidur.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Bahagian Agihan Zakat MAIM, Mohd Rizalman Syed ketika dihubungi berkata, pihaknya akan memaklumkan pasukan agihan zakat Daerah Alor Gajah untuk melakukan siasatan segera terhadap kes berkenaan.

"Daripada makluman awal, warga emas ini adalah penerima bantuan MAIM, justeru kami tiada halangan untuk mempertimbangkan bantuan membaiki rumah terbabit.

"Segala laporan akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Agihan Bantuan MAIM dengan kadar segera," katanya.