'Ibu hilang sudah 14 hari'

Che Rushidee menunjukkan gambar ibunya. Aliah dikesan selepas didapati hilang sejak 14 hari lepas.
Che Rushidee menunjukkan gambar ibunya. Aliah dikesan selepas didapati hilang sejak 14 hari lepas.
A
A
A

TAMPIN - Sebuah keluarga di Felda Sungai Kelamah di sini tidak putus berdoa dan berharap keajaiban supaya ibu mereka Aliah Omar,74 yang dilaporkan hilang sejak 14 hari lepas, ditemui segera.

Anak bongsunya, Che Roshidee Che Harun, 32 berkata, kehilangan ibunya yang juga dikenali sebagai Mak Cik Senah disedari pada 6 Disember lepas kira-kira jam 3 petang selepas sarapan pagi yang dibawanya tidak terusik.

"Kebiasaannya saya akan hantar makanan iaitu sarapan pagi, tengah hari dan malam sebelum menguruskan ternakan kambing di belakang rumah dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

"Tetapi pada hari kejadian, sarapan pagi masih tidak terusik dan kali terakhir saya berjumpa dengan mak sehari sebelum itu di kawasan kampung sekitar jam 5 petang dengan memakai baju kurung warga hijau dengan corak bunga kuning," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Isnin.

Ujarnya, bimbang akan keselamatan ibunya itu keluarganya segera membuat laporan polis di balai polis berhampiran selepas usaha mengesannya menemui jalan buntu.

"Pihak polis, pasukan bomba dan penyelamat serta orang kampung turut membantu mencari mak di sekitar kampung sehingga ke kawasan kebun kelapa sawit dan getah dekat sini termasuk kampung mak di Kampung Keru.

"Ada juga beberapa pasukan paranormal datang membantu selain mengadakan solat hajat dan melaungkan azan di kawasan sekitar pencarian.

"Bagaimanapun sehingga semalam, masih belum ada sebarang petunjuk dan keadaan ini membimbangkan tambahan pula mak ada penyakit darah tinggi malah bergantung pada ubat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, keluarganya tidak akan putus asa mengesan dan mencari ibunya itu kerana yakin dia akan pulang.

"Apa yang saya risaukan kesihatan ibu, makan minumnya sebab kalau kita tak makan sehari pun sudah lemah inikan pula warga emas. Saya mohon doa daripada semua pihak supaya mak segera ditemui," katanya.

Justeru keluarganya meminta bantuan orang ramai sekiranya menemui atau mempunyai maklumat berkaitan ibunya itu segera menghubunginya di talian 018- 2262069.

Dalam pada itu, orang ramai juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Mohd Rodzi Masa’at yang juga Ketua Polis Balai Gemas di talian 07-9481221 atau mana-mana balai polis berhampiran sekiranya mempunyai maklumat mengenai warga emas itu.