Kerajaan PH belum berkesan tangani isu ekonomi rakyat: Penganalisis

No Image Caption
A
A
A
SHAH ALAM - Kelemahan paling ketara pentadbiran PH adalah belum berkesan menangani isu ekonomi asas rakyat seperti kenaikan harga barang dan perkhidmatan walaupun cukai barang dan perkhidmatan (GST) telah lama dihapuskan.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, banyak peruntukan kerajaan bagi program pembangunan telah dikurangkan dan mengakibatkan kehidupan rakyat terutama mereka yang tinggal di luar bandar terjejas.

"PH asyik menyalahkan kerajaan lama, namun pada masa sama terus memanfaatkan projek pentadbiran BN sebelum ini seperti projek mega jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Malah, tidak ada program baharu yang dilihat mampu menangani kos dan bebanan rakyat yang efisien setakat ini.

"Kerajaan PH perlu mempunyai dasar pembangunan berasaskan ekonomi rakyat. Apa guna umum projek besar seperti kereta terbang, namun rakyat terbanyak tidak dapat menikmatinya kerana kos tinggi dan kurang manfaat buat mereka," katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum inu, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin meminta rakyat memberikan tempoh enam bulan lagi kepada kerajaan bagi membuktikan kemampuan mereka mentadbir negara, khususnya dalam menangani masalah ekonomi.

Beliau mengakui antara punca kekalahan PH pada PRK DUN Rantau berpunca daripada kelemahan kerajaan dalam menyakinkan rakyat berhubung kedudukan ekonomi dan kewangan negara.

Mengulas lanjut Awang Azman berkata, rakyat sudah muak dengan pengumuman projek mega tetapi mereka tidak dapat menikmati kemewahan dan hanya meningkatkan kos hidup harian hasil pembangunan tersebut.

"Jika ada azam politik yang kuat maka tempoh enam bulan dapat dicapai. Namun, sekiranya Daim dan hanya sebilangan kecil pemimpin sahaja mempunyai keazaman tersebut tetapi yang lain masih lagi sibuk dengan politik menyalahkan kerajaan terdahulu, maka ia akan berdepan jalan sukar," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, kelemahan kerajaan pada hari ini adalah mengenai sistem penyampaian yang memerlukan pemantauan berterusan dan bukan bermusim.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai contoh, kos sara hidup semakin tinggi walaupun GST sudah tiada tetapi cukai jualan dan perkhidmatan (SST). Keyakinan dan kepercayaan boleh dibina segera jika tumpuan kepada isu asas rakyat diutamakan.

"Fasa pertama bagi tahun pertama pentadbiran kerajaan PH telah memperlihatkan bahawa wujud defisit kepercayaan yang hanya boleh diganti dengan memenuhi keperluan serta kemahuan asas rakyat," katanya.

Sementara Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat, banyak isu perlu diselesaikan kerajaan seperti isu politik, tadbir urus dan ekonomi.

"Tempoh enam bulan yang diminta oleh Daim kepada rakyat bagi membuktikan kemampuan mentadbir negara dan menyelesaikan isu ini agak sukar. Namun, ia boleh dilakukan jika kerajaan melakukan reformasi sistem monetari iaitu mengehadkan lambakan kredit disebabkan pemberian pinjaman oleh bank komersial dan kerajaan menambat matawang ringgit kepada komiditi tertentu.

"Rakyat juga harus diingatkan supaya tidak berhutang dan jalan berbelanja melebihi kemampuan. Selagi reformasi monetari tidak dilakukan, isu ini tidak akan dapat diselesaikan oleh mana-mana kerajaan pun," katanya.