Pelajar dedah perbuatan tidak senonoh pengetua dibakar hidup-hidup

Kumpulan penunjuk perasaan membantah pembunuhan kejam ke atas Nusrat.
Kumpulan penunjuk perasaan membantah pembunuhan kejam ke atas Nusrat.
A
A
A

DHAKA - BANGLADESH. Seorang pelajar berusia 18 tahun maut selepas dibakar hidup-hidup kerana dia enggan menarik balik tuduhan rogol ke atas pengetua sekolahnya.

Nusrat Jahan Femi disiram dengan minyak tanah dan dibakar tanpa perikemanusiaan di atas bumbung sekolahnya dalam kejadian menggemparkan di Dhaka, Bangladesh.

Dia meninggal dunia minggu lalu di Dhaka Medical College Hospital dengan 75 peratus kesan melecur pada tubuhnya.

Pengetua terbabit, Siraj-ud-Daula telah dipenjarakan sejak akhir bulan lalu selepas dia didakwa cuba memperkosa remaja terbabit di dalam pejabatnya.

Hasil siasat awal polis mendapati serangan ke atas mangsa telah dirancang.

"Seramai 13 individu termasuk dua remaja perempuan terlibat dalam pembunuhan kejam ke atas Nusrat. Polis telah memberkas lapan suspek dan seorang guru turut terlibat," kata jurucakap polis.

Ketua Biro Siasatan, Banaj Kanti Majumdar berkata, beberapa orang termasuk seorang defendan ada melawat pengetua terbabit di penjara beberapa hari sebelum serangan itu.

Menurut abang mangsa, adiknya dibawa ke bumbung sekolah dan diserang sekumpulan individu yang menutup muka dan tangan mereka.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, keluarga mereka turut menerima ugutan bunuh selepas membuat aduan kepada pihak berkuasa.

Susulan kejadian itu, Perdana Menteri, Sheikh Hasina telah menggesa hukuman setimpal dikenakan atas perbuatan jenayah kejam itu. - Daily Mail