Jawatankuasa bertindak kuil tarik balik rayuan

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Jawatankuasa Bertindak bagi Menyelamatkan Kuil Mariamman Seafield hari ini menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Koroner yang menolak permohonannya untuk menjadi pemerhati dalam inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Pasukan petugas kuil itu turut menarik balik permohonan bagi penangguhan inkues itu sementara menunggu rayuannya bagi penangguhan inkues itu selesai.

Sementara itu, Jabatan Peguam Negara menarik balik permohonannya untuk membatalkan rayuan jawatankuasa kuil berkenaan.

Peguam M.Visvanathan, yang mewakili jawatankuasa bertindak kuil, berkata anak guamnya menarik balik rayuan itu berdasarkan afidavit yang difailkan Jabatan Peguam Negara pada 3 April lalu.

Beliau berkata, afidavit itu yang disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Hamdan Hamzah menyatakan bahawa kematian Adib bukan akibat dipukul oleh mana-mana orang.

Visvanathan berkata, afidavit itu turut menyatakan bahawa pakar patologi forensik memberi keterangan dalam prosiding inkues bahawa kecederaan yang dialami Muhammad Adib, sehingga membawa kepada kematiannya, bukan kecederaan akibat dipukul.

"Anak guam saya berpuas hati dengan kandungan dalam perenggan 5 dan 6 afidavit itu yang disahkan oleh DPP Hamdan Hamzah dan kami mengesahkan perkara ini menerusi afidavit kami yang difailkan pada 12 April," kata Visvanathan.

DPP Hamdan yang hadir bersama-sama DPP Datuk Mohd Dusuki Mokhtar tidak membantah penarikan balik itu.

Artikel Berkaitan:

Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan terdiri daripada Hakim Datuk Umi Kalthum Abdul Majid, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Steven Chung Hian Guan kemudian membatalkan rayuan serta permohonan itu.

Jawatankuasa bertindak kuil itu memfailkan permohonan semakan kehakiman supaya peguamnya dibenarkan menjadi pemerhati dalam inkues itu dengan mendakwa bahawa ia (jawatankuasa bertindak kuil) adalah “pihak berkepentingan” dalam inkues berkenaan.

Pada 31 Januari tahun ini, Koroner Rofiah Mohamad menolak permohonan jawatankuasa bertindak kuil itu atas alasan ia tidak mempunyai kepentingan yang jelas, substantif dan munasabah.

Rayuan jawatankuasa bertindak itu juga ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Feb tahun ini.

Muhammad Adib, 24, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman Seafield pada 27 November lepas.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada 17 Disember.

Inkues itu dijadual bersambung esok.- Bernama