Royalti minyak: Tunggu dua hari lagi, kata MB Kelantan

Ahmad (tengah) menyampaikan Skim Bantuan Imam Al-Ghazali kepada salah seorang pelajar cemerlang di Maahad Muhammadi Pasir Pekan, hari ini.
Ahmad (tengah) menyampaikan Skim Bantuan Imam Al-Ghazali kepada salah seorang pelajar cemerlang di Maahad Muhammadi Pasir Pekan, hari ini.
A
A
A

TUMPAT - Perkembangan bayaran royalti minyak kepada kerajaan Kelantan akan diketahui dalam tempoh dua hari lagi.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, perkara itu akan diketahui selepas selesainya proses mahkamah nanti.

"Setakat ini kita tunggu perbicaraan mahkamah pada 17 April ini.

"Dua hari lagi, tak lama dah, kita tunggu dengar sabar," katanya pada pemberita di Maahad Muhammadi Pasir Pekan, di sini hari ini.

Ahmad diminta mengulas mengenai perkembangan pembayaran royalti minyak kepada Kelantan.

Baru-baru ini, kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa kerajaan Persekutuan akan membayar royalti minyak kepada Kelantan selepas proses penarikan saman oleh kerajaan negeri selesai April ini.

Kerajaan negeri Kelantan telah mengemukakan saman terhadap Petronas berhubung tuntutan royalti di Mahkamah Tinggi pada 2011 dan pada Oktober tahun lalu kerajaan negeri menarik balik saman tersebut.

Terdahulu, Ahmad selaku Pengerusi Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) menyampaikan Skim Bantuan Imam Al-Ghazali kepada 75 pelajar cemerlang dalam peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) seluruh sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Artikel Berkaitan:

Skim Bantuan Imam Al-Ghazali merupakan satu program tanggungjawab sosial, bantuan wang tunai bulanan sebanyak RM80 kepada pelajar terpilih yang cemerlang dalam PT3.