Bekas pekerja ladang mohon campur tangan MB

Anas Hafiz (tiga dari kiri)menerima memorandum daripada wakil bekas pekerja,semalam.
Anas Hafiz (tiga dari kiri)menerima memorandum daripada wakil bekas pekerja,semalam.
A
A
A

ALOR SETAR - Bekas pekerja Ladang Padang Meha, Padang Serai memohon campur tangan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bagi menyelesaikan masalah bekalan air dan tuntutan rumah pekerja yang berlarutan sejak 1995.

Wakil pekerja, R Kartigesan berkata, bekalan air di ladang berkenaan telah dipotong pada 8 April lalu tanpa sebarang notis.

Katanya, tindakan berkenaan adalah untuk memaksa bekas pekerja dan keluarga berpindah dari kawasan berkenaan walaupun tuntutan perumahan alternatif bekas pekerja belum ditunaikan sehingga kini.

"Selepas diberhentikan kerja, pihak syarikat menandatangani Perjanjian Penyelesaian pada 1997 dan bersetuju dengan beberapa syarat termasuk mereka akan membina 240 rumah kos rendah dengan kos dan perbelanjaan mereka sendiri.

"Malah ketika itu mereka juga bersetuju bahawa pekerja dibenarkan terus tinggal di hartanah tersebut sehingga pembinaan rumah berkenaan selesai," katanya selepas menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Anas Hafiz Mustaffa di Wisma Darul Aman,di sini, semalam.

Anas Hafiz (empat dari kiri) menerangkan sesuatu kepada bekas pekerja Ladang Padang Meha di hadapan pintu masuk Wisma Darul Amam,semalam.
Anas Hafiz (empat dari kiri) menerangkan sesuatu kepada bekas pekerja Ladang Padang Meha di hadapan pintu masuk Wisma Darul Amam,semalam.

Bagaimanapun menurutnya, pihak syarikat didakwa melanggar perjanjian berkenaan dan pekerja terpaksa memulakan tindakan guaman di Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 25 Ogos 2003.

"Pekerja menang pampasan termasuk RM22,500 untuk ganti rumah tetapi sehingga hari ini, pekerja tidak menerima wang tersebut kerana syarikat induk diisytiharkan muflis pada 2005.

Artikel Berkaitan:

"Kami sudah beberapa kali mengajak syarikat berkenaan untuk berunding namun mereka enggan. Jadi kami harap campur tangan menteri besar dapat membantu menyelesaikan masalah ini," katanya.

Sementara itu, Anas Hafiz yang mewakili Mukhriz berkata, pihaknya akan berbincang dengan Syarikat Air Darul Aman (SADA) supaya bekalan air dapat disambungkan semula di ladang berkenaan.

"Bagi isu rumah terbabit pula, kita perlu dapatkan surat hitam putih daripada mahkamah untuk melihat keputusan terkini.

"Apabila sudah dapat (keputusan) nanti, pejabat menteri besar akan memanggil semua pihak termasuk pekerja dan pemaju untuk menghadiri mesyuarat khas," katanya.