Tujuh pelajar IPT antara ditahan hisap dadah

No Image Caption
A
A
A

PARIT - Tujuh pelajar lelaki sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Seri Iskandar antara sembilan individu ditahan polis setelah disyaki terlibat dengan kegiatan dadah dalam serbuan berasingan di dua rumah di Seri Iskandar dan Ipoh.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, serbuan berkenaan dijalankan di Persiaran Iskandar Perdana di sini semalam dan di Ipoh hari ini.

"Dalam ketiga-tiga serbuan itu, kesemua suspek berusia lingkungan 20 hingga 27 tahun ditahan bersama dadah jenis kanabis seberat 355.13 gram dan beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk menghisap dadah berkenaan.

"Tangkapan pertama dijalankan pada jam 11 malam di Seri Iskandar, di mana lima lelaki dengan tiga daripadanya penuntut IPT yang sedang leka menghisap dadah ditahan bersama dadah jenis kanabis seberat 53.67 gram," katanya dalam satu laporan di sini, hari ini.

Tambahnya, pemeriksaan yang dijalankan juga menjumpai kotak mengandungi ketulan mampat tumbuhan kering disyaki dadah jenis kanabis seberat 4.00 gram dan satu bekas plastik yang di dalamnya terdapat tumbuhan kering disyaki dadah jenis sama dengan berat 49.67 gram.

Antara dadah yang dirampas.
Antara dadah yang dirampas.

"Turut dijumpai di atas lantai rumah berkenaan ialah botol kaca yang diubah suai, dua alat pengisar dan dua pemetik api yang dipercayai dijadikan sebagai alat untuk menghisap dadah.

"Susulan tangkapan tersebut, kita membuat serbuan di sebuah rumah di kawasan berhampiran pada jam 12.30 tengah malam dan menahan tiga lagi penuntut lelaki IPT sama masing-masing berusia 22 tahun," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mohamad Zainal, ketiga-tiga penuntut terbabit ditahan di ruang tamu, bilik utama dan bilik ketiga rumah tersebut ketika sedang menghisap dadah selain turut ditemui 79.41 gram dadah jenis kanabis dan peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk menghisap dadah tersebut.

"Berdasarkan soal siasat terhadap suspek, mereka mendakwa mendapat bekalan dadah berkenaan daripada seorang lelaki lain. Serbuan kemudiannya dilakukan di sebuah rumah di Kampung Sungai Tapah di Ipoh pada jam 4.16 pagi tadi.

"Dalam serbuan itu, kita menahan seorang lelaki berusia 23 tahun yang juga penuntut di IPT sama dan merampas dadah jenis kanabis seberat 222.05 gram," katanya.

Tambah beliau, pemeriksaan ujian air kencing terhadap kesemua mereka mendapati positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).