Tak sempat 'eksport' 350 kg daun ketum

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Kedah merampas kira-kira 350 kilogram daun ketum di Kampung Padang Setol, Padang Terap yang dipercayai bagi tujuan 'eksport' ke negara jiran selepas menahan seorang lelaki Siam warga Malaysia dan tiga warga Thailand.

Timbalan Pengarah Kanan Penguatkuasaan Dan Keselamatan AADK Negeri Kedah, Nasru'ddin Abdul Rahman berkata, dalam operasi sama di Kampung Padang Setol Baru, pihaknya turut menahan seorang lelaki Siam warga Malaysia dan seorang wanita warga Thailand dengan hasil rampasan 4.7 kilogram daun ketum.

Menurutnya, di kampung yang sama, AADK turut menahan dua lelaki dan merampas 17.7 kilogram daun ketum serta 2.89 gram disyaki dadah jenis heroin dan 2.19 gram disyaki dadah jenis syabu.

Suspek ditahan ketika sedang membungkus daum ketum.
Suspek ditahan ketika sedang membungkus daum ketum.

"Kejayaan tangkapan itu susulan operasi aduan khas bagi mengekang aktiviti penagihan dadah di Daerah Padang Terap melibatkan 25 orang anggota dari AADK Negeri Kedah, AADK daerah Padang Terap dan AADK daerah Kubang Pasu bermula jam 4 petang dan berakhir sekitar jam 10 pagi, semalam," katanya.

Nasru'ddin berkata, operasi diteruskan di beberapa kawasan penagihan dadah yang bergerak aktif di sekitar kawasan Daerah Padang Terap seperti di Kampung Tanjung Putus dan Kampung Pong dan AADK dengan menahan 13 individu yang disyaki penagih dadah.

"Seramai 21 individu yang ditahan menjalani ujian saringan air kencing dan mendapati kesemua positif dadah jenis opiat dan methamphetamine. Dari jumlah itu, seramai 8 individu diserahkan kepada Polis untuk disiasat di bawah seksyen 39A(2) dan 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta untuk siasatan di bawah Akta Racun 1952.

"Manakala 13 yang lain akan disiasat di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983 dan menjalani reman di Pusat Tahanan Reman Serdang sebelum tindakan selanjutnya di mahkamah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nasru'ddin berkata, pihaknya memerlukan penglibatan komuniti dalam terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa agar isu-isu yang boleh mengancam keharmonian serta kesejahteraan dapat ditangani segera dan berkesan.

Tambahnya, isu dadah dan ketum bukan sahaja melibatkan golongan berumur malah kini menular kepada pelajar pelajar sekolah.