Dua ditahan miliki dua senapang angin buatan sendiri

ubat
ubat
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Dua lelaki termasuk seorang warga Myanmar ditahan kerana memiliki dua laras senapang angin buatan sendiri di Jalan Berapit, Kampung Besar di sini, semalam.

Kedua-dua suspek ditahan dalam serbuan ke atas sebuah stor oleh sepasukan polis pada jam 12.30 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, ketika serbuan, kedua-dua suspek sedang duduk menghadap sebuah meja dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, selepas pemeriksaan dibuat, terdapat satu keratan penyedut minuman yang mengandungi hablur disyaki syabu, satu botol kaca yang diubahsuai untuk menghisap dadah dan pemetik api di atas meja tersebut.

"Kita turut merampas dua laras senapang angin buatan sendiri dan satu botol plastik mengandungi 2,000 biji plastik disyaki peluru senapang angin di stor tersebut. Sehubungan itu, kita menahan dua lelaki tersebut yang merupakan pekerja kontrak untuk siasatan lanjut.

"Suspek pertama adalah warga tempatan berusia 34 tahun dan masih bujang. Dia yang berasal dari Perak itu mempunyai dua rekod kesalahan dadah dan tiada rekod jenayah lain. Ujian saringan air kencing mendapati positif syabu," katanya ketika dihubungi tadi.

Tambahnya, suspek kedua adalah warga Myanmar berusia 30-an dan tiada rekod jenayah lampau selain ujian saringan air kencingnya negatif.

"Kedua-duanya direman empat hari sehingga 18 April ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 15(1)(a) akta sama dan Seksyen 6 Akta Bahan- Bahan Hakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958," katanya.

Artikel Berkaitan: