Restoran tular kanak-kanak kencing diarah tutup serta merta

Tangkap layar video tular yang memaparkan seorang kanak-kanak lelaki kencing di dapur sebuah restoran. (Kanan: Tangkap layar kenyataan Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon.)
Tangkap layar video tular yang memaparkan seorang kanak-kanak lelaki kencing di dapur sebuah restoran. (Kanan: Tangkap layar kenyataan Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon.)
A
A
A

KOTA TINGGI - Sebuah restoran di sebuah pusat beli belah di sini yang tular selepas seorang kanak-kanak lelaki membuang air kecil di bahagian dapur telah diarah tutup serta merta.

Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, tindakan itu dibuat Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi susulan siasatan yang dijalankan di premis berkenaan pada jam 11.45 pagi Jumaat.

"Hasil siasatan mendapati premis disewakan kepada warga asing. Kesemua empat pengendali makanan terbabit didapati tidak mempunyai Sijil Latihan Pengendali Makanan serta seorang daripada mereka tidak mempunyai suntikan Typhoid.

"Arahan penutupan dibuat mengikut Seksyen 12 Akta Makanan 1983 serta Arahan Pembersihan bi bawah Seksyen 10(1) Akta Makanan 1983.

"Kompaun juga turut dikeluarkan ke atas pemilik premis kerana gagal memastikan premis di dalam keadaan baik dan bersih di bawah Peraturan 11(1), dibaca bersama Peraturan 15(1) kerana tidak mendaftarkan premis di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Tian Soon berkata, restoran terbabit juga dikesan mempunyai kesalahan lain antaranya pencemaran di tempat penyimpanan makanan selain lantai premis kotor tidak dibersihkan, dinding yang berhabuk dan bersawang.

"Penyimpanan makanan yang tidak bersih juga dikesan di premis ini. Terdapat talang telur yang berada di tempat penyediaan makanan dan telur-telur yang tidak dicuci sebelum digunakan.

"Tempat mencuci tangan juga tidak dilengkapi dengan sabun cecair dan pengering tangan atau tuala pakai buang. Menggunakan tong sampah yang tidak dibersihkan, kotor dan tidak bertutup.

Artikel Berkaitan:

"Malah sistem saliran yang tidak efektif dan menyebabkan air limpah mengalir ke atas permukaan jalan," jelasnya.

Sebelum itu, video berdurasi 1 minit 24 saat tular di Facebook memaparkan seorang kanak-kanak lelaki dipercayai anak kepada tukang masak di restoran terbabit membuang air kecil secara berdiri berhampiran sinki dapur dan terdapat makanan sedang dimasak.