'Tiada lagi daerah miskin di Terengganu'

Lebih 1000 pengerusi dan setiausaha MPPK Terengganu hadir Kursus Induksi MPKK peringkat negeri di TH Hotel & Convention Centre di sini hari ini. - Gambar kecil: R Sivarasa
Lebih 1000 pengerusi dan setiausaha MPPK Terengganu hadir Kursus Induksi MPKK peringkat negeri di TH Hotel & Convention Centre di sini hari ini. - Gambar kecil: R Sivarasa
A
A
A

KUALA NERUS - Terengganu sebelum ini pernah disenaraikan sebagai antara negeri termiskin di Malaysia namun kini tidak lagi tersenarai sebagai negeri mempunyai daerah yang miskin.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa berkata, kementerian mengenal pasti 28 daerah miskin di seluruh negara iaitu di Kelantan, Kedah serta Sabah dan Sarawak.

Namun, Terengganu tidak termasuk dalam senarai yang mempunyai daerah yang miskin, berbanding negeri jiran iaitu Kelantan dikenal pasti mempunyai tujuh daerah yang dikategorikan miskin.

“Tumpuan adalah bagi pelaksanaan program pembangunan sosioekonomi untuk mengeluarkan 28 daerah itu daripada terus berada di bawah paras kemiskinan sedang dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Kursus Induksi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) peringkat negeri, di TH Hotel & Convention Centre di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim.

Sivarasa berkata, beberapa program akan dilaksanakan kerajaan merangkumi pembangunan infrastruktur, peningkatan pendapatan dan pendidikan bagi mengeluarkan daerah dalam senarai miskin.

Menurutnya, penekanan utama juga diberikan kepada pendidikan seperti sasaran ditetapkan kementerian iaitu 67 peratus anak-anak luar bandar daripada keluarga B40 ditempatkan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Artikel Berkaitan:

“Kementerian akan memberi perhatian menyalurkan bantuan selain bekerjasama dengan pelbagai agensi dan jabatan berkaitan dalam meningkatkan taraf sosial serta ekonomi penduduk,” katanya.

Mengulas mengenai geran bantuan MPKK, Sivarasa berkata, kerajaan Persekutuan menyediakan geran berjumlah RM10,000 setahun kepada semua MPKK untuk mengadakan program kemasyarakatan.

Beliau memaklumkan, setakat ini, sebanyak 277 daripada keseluruhan 15,441 MPKK di seluruh negara sudah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan geran berkenaan.