Menteri promosi minyak sawit

 Teresa (empat, kanan) menggoreng bebola ikan pada program sempena Kempen Sayangi Sawitku.
Teresa (empat, kanan) menggoreng bebola ikan pada program sempena Kempen Sayangi Sawitku.
A
A
A

KUALA KUBU BHARU - Menteri Industri Utama, Teresa Kok menjayakan program memasak bersama penduduk sempena Kempen Sayangi Sawitku, kelmarin.

Lebih 250 penduduk hadir di Gelanggang Bola Keranjang Rasa menyaksikan Teresa memasak bihun dan menggoreng bebola ikan bagi mempromosikan kebaikan minyak sawit keluaran tempatan.

ADUN Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong berkata, kempen Sayangi Sawitku bertujuan memberi kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat mengenai produk lima bintang itu.

Menurutnya, negara berdepan sekatan pengimportan minyak sawit oleh Kesatuan Eropah (EU) berikutan salah faham dan kurang maklumat berkaitan kebaikan dan khasiat minyak sawit.

"Masih ramai belum tahu maka sebab itu kempen ini diperluaskan termasuk melalui program memasak supaya dapat berkongsi khasiat produk hiliran minyak sawit tempatan.

"Saya menyambut baik kempen ini bagi menyebarkan persepsi baik dan meningkatkan penggunaan minyak sawit dalam negara.

"Rakyat perlu bersama-sama dengan kerajaan dan mengutamakan minyak sawit kita untuk kegunaan harian di rumah serta membeli produk berasaskan minyak sawit," katanya.

Kee Hiong berkata, Minyak Sawit Malaysia baik untuk kesihatan kerana bebas lemak trans dan kolesterol selain kaya vitamin E tokotrienol serta membantu menyerap vitamin larut lemak A,D,E dan K.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, minyak sawit itu bagus untuk menggoreng dan memasak apabila stabil pada suhu tinggi dengan kurang mengeluarkan asap, percikan serta buih.

"Bahan masakan juga tidak mudah melekat pada peralatan memasak dan pokok sawit mempunyai produktiviti tinggi berbanding tanaman minyak sayuran lain.

"Minyak Sawit Merah dihasilkan melalui proses penapisan khusus bagi mengekalkan kandungan pro-vitaman A (karotenoid) dan melindungi daripada penyakit jantung serta penularan kanser.

"Selain makanan harian, terdapat beberapa produk lain berasaskan minyak sawit seperti produk penjagaan dan makanan haiwan, mandian dan penjagaan diri, pencuci serbaguna serta biodiesel," katanya.