Empat dokumen bank Najib antara dirampas dari AmBank

Najib
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Saksi kedua dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini hari ini, sebanyak lapan dokumen dirampas dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Bank Negara Malaysia (BNM) untuk tujuan siasatan.

Azizul Adzani Abdul Ghaffar, 49, yang kini merupakan Pegawai Penggeledah BNM berkata, beliau telah diminta untuk ke cawangan AmBank Cawangan Jalan Raja Chulan untuk siasatan di bawah peruntukan pengubahan wang haram (AMLA) iaitu obligasi pelaburan.

Menurutnya, pada 6 Julai 2015, beliau dimaklumkan oleh pegawai penyiasat BNM bernama Ahmad Farhan Jamaluddin untuk melakukan kerja penggeledahan bersama tiga lagi pegawai iaitu Azhamudin, Rizuan Kujikoya, Abdul Latif Abdul Karim.

Azizul Adzani berkata, sejurus tiba di cawangan bank tersebut, beliau telah menemui pengurus cawangan bank berkenaan R Uma Devi dan memaklumkan mengenai siasatan yang dilakukan.

"Saya berikan senarai akaun-akaun yang diperlukan bagi tujuan siasatan oleh BNM sebelum pengurus cawangan tersebut pergi dapatkan dokumen-dokumen yang saya nyatakan dan kembali membawa sejumlah dokumen yang diperlukan," katanya dalam pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Suhaimi Ibrahim.

Azizul Adzani berkata, dokumen-dokumen yang diserahkan oleh pengurus cawangan bank tersebut termasuk empat akaun bank milik Datuk Seri Najib Razak, dua akaun SRC International Sdn Bhd dan satu akaun milik syarikat Gandingan Mentari Sdn Bhd.

"Saya teliti dokumen tersebut dan mencatatkan dalam senarai geledah dan merekodkan dokumen-dokumen yang akan diambil untuk tujuan siasatan BNM sebelum menurunkan tanda tangan di muka surat lapan senarai geledah," katanya.

Perbicaraan dihadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali disambung esok dengan pihak pembelaan menyoal balas saksi.