Perkhidmatan van percuma atasi masalah parkir di HTAA

Dari kanan, Dr Norazmi, Dr Boon Chye dan Dr Shaari pada sidang media selepas Lawatan Kerja Timbalan Menteri dan Sesi Dialog bersama warga kesihatan negeri Pahang, di sini hari ini.
A
A

KUANTAN - Masalah parkir di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu kini mendapat tumpuan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, kementerian sedang mempertimbangkan pelbagai cara termasuk cadangan parkir bertingkat bagi mengatasi masalah tersebut.

"Pada sidang dialog bersama warga HTAA antara masalah yang dibangkitkan adalah berkenaan parkir yang tidak cukup dan terlalu padat.

"Ini bukan sahaja dialami pesakit dan waris, bahkan kakitangan HTAA sendiri yang berdepan masalah tak cukup parkir," katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Lawatan Kerja Timbalan Menteri dan Sesi Dialog bersama warga kesihatan negeri Pahang.

Orang ramai terpaksa meletakkan kenderaan di pinggir jalan hingga belakang HTAA kerana masalah kekurangan parkir.
Orang ramai terpaksa meletakkan kenderaan di pinggir jalan hingga belakang HTAA kerana masalah kekurangan parkir.

Hadir sama Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) Datuk Dr Shaari Ngadiman; Pengarah HTAA Norazmi Abdullah dan ADUN Teruntum, Sim Chon Siang.

Boon Chye berkata, bagi mengurangkan masalah parkir di pinggir jalan utama berhadapan HTAA, pihak pengurusan sudah berbincang dengan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

"MPK telah berbesar hati menyediakan parkir secara percuma di padang MPK manakala hospital menyediakan perkhidmatan shuttle van secara percuma ke HTAA. Dua buah van disediakan untuk pengangkutan orang awam dari parkir MPK ke HTAA untuk mengurangkan kesesakan.

"Jadi orang ramai digalakkan meletakkan kenderaan di parkir MPK dan menggunakan pengangkutan ini," katanya.

Dalam pada itu, Boon Chye berkata kementerian turut memberi tumpuan kepada kemudahan peralatan dan blok baharu untuk wad wanita dan kanak-kanak.

"Pada masa kini, HTAA berupaya menampung 851 katil dan telah memberikan perkhidmatan yang baik meskipun menghadapi kekangan kakitangan dan sumber," katanya.