Sambutan luar jangkaan pengundi luar negara

Pengundi di wilayah Kanto dan kawasan Tokyo membanjiri Balai Indonesia untuk menunaikan tanggungjawab mereka. - Foto: Jakarta Post / Asia News Network
A
A

JAKARTA - INDONESIA. Jumlah pengundi luar negara yang keluar menunaikan tanggungjawab mereka menjelang Pemilihan Umum Indonesia (Pemilu 2019) dilaporkan mendapat sambutan memberangsangkan dan di luar jangkaan hingga menyebabkan ramai yang terpaksa beratur panjang di pusat pengundian di beberapa bandar di seluruh dunia. semalam.

Gambar pengundi terpaksa menunggu lama untuk mengundi di Amsterdam dan Tokyo pada akhir minggu lalu turut dikongsi di media sosial.

Lebih dua juta pengundi luar negara mendaftar dalam senarai pemilih akhir (DPT) yang diperoleh Suruhanjaya Pilihan Raya Umum.

Di Sydney, suruhanjaya tersebut bercadang untuk membuka semula pusat pengundian di mana ratusan pengundi didakwa gagal membuang undi kerana kekangan masa.

Perunding reka bentuk, Donny Verdian, 41, berkata pusat pengundian di Sydney Town Hall ditutup pada jam 6 petang (waktu tempatan) walaupun masih ramai yang beratur.

"Barisan pengundi yang beratur adalah sepanjang tiga blok. Pintu pusat itu ditutup pada waktu ditetapkan tanpa menghiraukan mereka yang masih beratur," ujarnya yang sempat mengundi.

Petisyen change.org yang menuntut pengundian semula dalam satu kenyataan memberitahu, "Ratusan rakyat Indonesia yang layak mengundi tidak dibenarkan menunaikan tanggungjawab mereka walaupun masih ramai yang beratur di hadapan pusat pengundian sejak tengah hari".

Menjelang petang kelmarin, petisyen itu telah ditandatangani oleh lebih 8,800 individu.

Pesuruhjaya Pilihan Raya, Ilham Saputra mendakwa situasi di Sydney itu berlaku kerana kebanjiran pengundi tidak berdaftar dan pusat pengundian itu mungkin akan dibuka semula bagi memberi peluang kepada pengundi yang tidak dapat membuang undi.

Di Tokyo, 90 peratus pengundi berdaftar di wilayah Kanto hadir menunaikan tanggungjawab mereka dan tempoh pengundian turut dilanjutkan.

Kira-kira dua jam selepas pusat pengundian itu ditutup pada jam 7 petang (waktu tempatan), 300 individu kebanyakannya pelajar dan mengundi buat pertama kali masih beratur di dewan serbaguna Balai Indonesia di Meguro.

"Kami terkejut apabila melihat jumlah pengundi yang terlalu ramai. Ia mungkin disebabkan oleh banyak faktor dan hanya dua pasang calon yang bertanding memudahkan mereka untuk memilih," kata Ketua PPLN di Kanto, Makmur Lubis.

Menurut data suruhanjaya pilihan raya, hanya 464,458 atau 22.19 peratus daripada lebih dua juta pengundi luar negara mengundi pada 2014.

Jumlah pengundi ketika pilihan raya presiden 2014 adalah tinggi iaitu 33 peratus, namun masih jauh ketinggalan dengan jumlah pengundi keseluruhan iaitu kira-kira 73 peratus. - Agensi


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia