Ramai pihak tunjuk minat bangunkan KXP

kl
kl
A
A
A

ALOR SETAR - Beberapa pihak menunjukkan minat untuk terlibat dengan pembinaan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) namun masih dalam penilaian oleh KXP AirportCity Holding Sdn Bhd yang menerajui dan menguruskan KXP.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, KXP AirportCity Holding Sdn Bhd merupakan agensi yang bertanggungjawab kepada rundingan dengan kementerian dan agensi-agensi pusat berhubung pembangunan KXP.

"Sehingga kini KXP AirportCity Holding Sdn Bhd telah menerima pelbagai cadangan dari pihak dalam dan luar negara iaitu tawaran pembiayaan, pembinaan, penyediaan ekuiti, akademi penerbangan, automasi lapangan terbang, operasi kargo, pengendalian e-commerce kargo, penyelenggaraan dan membaikpulih (MRO) dan infrastruktur bahan api,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Norsabrina Mohd Noor (BN-Bandar Baharu) pada Sidang DUN Kedah ke-14 di Wisma Darul Aman.

Mukhriz berkata, KXP AirportCity Holding Sdn Bhd adalah syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) yang sudah mula beroperasi pada 4 Mac lalu.

Menurutnya, cadangan KXP juga diambil kira dalam draf Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Kuala Muda 2035 (Penggantian) yang sedang dipublisitikan kepada orang awam mulai 1 April 2019 sehingga 30 April 2019.

"Kerajaan negeri turut merancang mewujudkan lebuhraya baru dari Bandar Baharu ke Sungai Petani bagi menghubungkan Sidam Kiri yang merupakan lokasi KXP.

“Lebuhraya ini adalah untuk memudahkan akses ke lapangan terbang itu. Jika Perak bersetuju kita akan menjadikan Changkat Jering atau mana-mana kawasan bersesuaian di negeri itu sebagai permulaan lebuhraya," katanya.

Sebelum ini pada19 Mac lalu, kerajaan pusat meluluskan pembinaan KXP yang membabitkan pelaburan luar berjumlah RM1.6 bilion oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

Artikel Berkaitan: