Perjanjian ECRL kurangkan komitmen kewangan negara: Dr Mahathir

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media berkaitan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA – Komitmen kewangan Malaysia membabitkan jumlah kemudahan pinjaman Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), akan berkurangan secara ketara susulan pemeteraian Perjanjian Tambahan (SA) berkaitan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jelas Perdana Menteri, kadar faedah pinjaman itu juga akan berkurangan berikutan angka kos pembinaan yang kini berjumlah RM44 bilion iaitu pengurangan RM21.5 bilion daripada kos awal sebanyak RM65.5 bilion.

“ECRL (kini) akan menelan kos RM68.7 juta bagi setiap kilometer berbanding RM95.5 juta setiap kilometer di bawah perjanjian asal. Menerusi penambahbaikan kos ECRL pada RM44 bilion, jumlah pinjaman dari China-EXIM Bank juga akan berkurangan secara ketara.

“Jumlah sebenar yang dikurangkan itu masih lagi dibincangkan dengan pihak China-EXIM Bank. Kita menjangkakan (perbincangan itu) akan membawa kepada penyusutan beban kewangan bagi pihak kerajaan dari segi pembayaran semula pinjaman prinsipal, jumlah kadar faedah kos serta bayaran fi lain," kata beliau pada sidang media mengenai projek ECRL itu di sini, hari ini.

Pada 12 April lepas, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dengan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) memeterai SA yang membolehkan projek ECRL yang ditangguhkan, disambung semula.

ECRL yang diluluskan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini, ditangguhkan pada tahun lepas oleh kerajaan Pakatan Harapan berikutan membabitkan kos yang terlalu tinggi.

Mengulas selanjutnya, Perdana Menteri berkata, mengikut perjanjian asal projek itu menelan kos kira-kira RM66.7 bilion.

Malah, kata Dr Mahathir, jumlah pinjaman daripada China-EXIM Bank yang merupakan 85 peratus daripada kos projek itu sepatutnya mencecah RM56.7 bilion.

“Di bawah kerajaan sebelum ini, jumlah semasa yang ditandatangani dengan China-EXIM Bank adalah RM39.1 bilion hanya untuk Fasa 1 sahaja.

"Mujurlah baki RM17.6 bilion bagi Fasa 2 dan sambungan jajaran ke utara, belum sempat ditandatangani," kata beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata rundingan mengenai kadar faedah dengan pihak China-EXIM Bank masih dijalankan.

Pada masa ini, katanya, 85 peratus daripada projek ECRL itu akan dibiayai menerusi pinjaman mudah China-EXIM Bank berkadar faedah 3.25 peratus dengan bakinya menerusi pembiayaan tempatan.

“Kita masih membincangkan terma lainnya, seperti tempoh moratorium terbabit. Ini berikutan (tarikh siap) pembinaan telah berganjak dari 2024 kepada 2026 dan ini sudah pasti ini turut melibatkan pemberian tempoh moratorium.

“Adalah diharapkan pihak China-EXIM akan ke sini pada minggu depan bagi membincangkan perkara (kadar faedah itu)," katanya. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia