Lebih 70 peratus gelandangan Anjung Singgah dapat pekerjaan

Dr Wan Azizah (dua,kiri) menyaksikan Pertukaran Perjanjian antara Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Datin Che Asmah Ibrahim (kanan) dengan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin (kiri) pada Majlis Penyampaian Tajaan & Tandatangan Memorandum Rakan Strategik YKN di Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat hari ini. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - "Sebanyak 73 peratus daripada 7,047 gelandangan yang menginap di Anjung Singgah sehingga Januari tahun ini berjaya dibantu untuk mendapat pekerjaan," kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata Anjung Singgah, ditubuhkan Yayasan Kebajikan Negara (YKN), telah membuka lima Anjung Singgah yang berfungsi sebagai pusat khidmat sosial bagi menangani masalah isu gelandangan.

Di samping itu, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata seramai 2,315 orang telah berdaftar dengan Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur sejak ia dibuka pada 2016.

YKN juga menyediakan perkhidmatan Anjung Kasih yang kini mempunyai 10 penginapan sementara bagi keluarga yang mengiringi pesakit yang mendapat rawatan di hospital, katanya. "Sehingga Januari 2019, sejumlah 62,551 orang telah mendapat manfaat daripada penubuhan Anjung Kasih seluruh negara," katanya pada Majlis Penyampaian Tajaan dan Tandatangan Memorandum Rakan Strategik YKN di sini hari ini.

Dr Wan Azizah berkata YKN kini dalam perancangan untuk menubuhkan pusat sehenti gabungan komponen sosial seperti Anjung Kasih, Anjung Singgah, Food Bank dan lain-lain yang bercirikan elemen kebajikan di tapak tanah kebajikan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

"Projek ini merupakan kesinambungan daripada projek kerjasama YKN Dialisis dengan UMS dan merupakan projek pertama diwujudkan di Malaysia, sesuai dengan keperluan masyarakat Sabah,” katanya.

Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) pula akan bekerjasama dengan YKN dalam penubuhan Anjung Kasih di Unisza dengan peruntukan pembangunan dikongsi bersama antara Unisza dan YKN, katanya.

Pada majlis yang sama, Timbalan Perdana Menteri menyaksikan sesi penyerahan tajaan dan tandatangan memorandum bersama 12 rakan strategik YKN yang terdiri daripada syarikat berkaitan kerajaan, syarikat korporat, institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, institusi kewangan dan badan bukan kerajaan.

YKN diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Datin Paduka Che Asmah Ibrahim. -Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia