Pelajar lepasan SPM maut kemalangan

Anggota bomba cuba mengeluarkan mangsa yang berada di bawah kenderaan. - Foto ihsan bomba
Anggota bomba cuba mengeluarkan mangsa yang berada di bawah kenderaan. - Foto ihsan bomba
A
A
A

KUALA SELANGOR - Seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut selepas cuba melintas di KM 4.5 Jalan Bestari Jaya-Ijok berhampiran Bukit Badong, tengah hari tadi.

Dalam kejadian jam 12.35 tengah hari itu, mangsa, Noorshahira Hidayah Sopian,17, dikatakan cuba melintas melalui pembahagi jalan dengan motosikal.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md Asri A Wahab berkata, mangsa yang menunggang motosikal bersama seorang pembonceng dilanggar sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan menyebabkan motosikal tercampak di atas jalan.

"Mangsa turut tercampak jatuh di atas cermin sebuah lagi kereta yang kebetulan lalu di laluan bertentangan dan tergilis badan mangsa.

"Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya yang memaklumkan mayat dibawa ke Hospital Tanjong Karang.

Mangsa kedua iaitu pembonceng yang dikenali sebagai Nur Farhana Izati Mohd Lazi, 15, dilaporkan parah dan dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

Anggota bomba cuba mengeluarkan mangsa yang berada di bawah kenderaan. - Foto ihsan bomba
Anggota bomba cuba mengeluarkan mangsa yang berada di bawah kenderaan. - Foto ihsan bomba

Md Asri berkata, kesemua kenderaan terlibat dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk pemeriksaan Puspakom.

Artikel Berkaitan:

"Pihak polis masih mengesan saksi bebas untuk bantu siasatan kes yang diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kes ini masih disiasat Pegawai Penyiasat Trafik IPD Kuala Selangor, Inspektor Norasyikin Roslan dan kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian penting untuk membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya, Penolong Penguasa Bomba, Sahidallah Osman berkata, seramai sembilan anggota dan pegawai bergegas ke lokasi kejadian.

"Kami membantu mengeluarkan mangsa yang berada di bawah kenderaan terbabit menggunakan peralatan yang sesuai.

"Kerja mengeluarkan mangsa berjalan lancar dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya kepada Sinar Harian.