Hanya Yusri mampu pulihkan TRW, kata Bibi

Kehadiran Yusri diharap dapat menstabilkan semula pasukan Kelantan yang bergelut untuk keluar daripada zon penyingkiran Liga Premier musim ini.
A
A

PEMILIHAN Yusri Che Lah selaku ketua jurulatih baharu The Red Warriors (TRW) merupakan ikhtiar terakhir Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) untuk memulihkan semula pasukan itu susulan prestasi buruk dalam saingan Liga Premier musim ini.

Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, pemilihan Yusri bagi menggantikan bekas ketua jurulatih sebelum ini, Marko Kraljevic merupakan satu tindakan tepat memandangkan dia cukup ‘masak’ dengan senario bola sepak Kelantan.

“Hanya Yusri yang kenal dengan budak-budak (pemain) ini kerana dia sudah biasa dengan Kelantan. Jadi, kita harap kehadiran semula dia dapat membantu menstabilkan pasukan.

“Tapi untuk meningkatkan prestasi pasukan secara keseluruhan rasanya ia perlu bergantung pada pemain sekarang, bukan kerana Yusri semata-mata,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Pada 8 April lalu, Sinar Harian melaporkan Kafa menamatkan kontrak Kraljevic tidak sampai tiga bulan membimbing pasukan itu selepas syarikat MyInspiration Sdn Bhd membatalkan perjanjian usahasama antara Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn Bhd dengan Kafa bagi menguruskan tiga pasukan bola sepak negeri berkenaan.

Penamatan tugas bekas jurulatih Balistier Khalsa FC dipercayai dibuat atas faktor masalah kewangan yang meruncing ketika ini selain prestasi semasa pasukan tersebut.

Menurutnya, Kafa berterima kasih kepada Yusri yang juga merupakan bekas pengendali TRW musim lalu kerana sanggup pulang ke pangkuan pasukan walaupun skuad Pantai Timur itu kini menghuni tangga tercorot liga.

“Dia akan memulakan tugas melatih Kelantan sebaik selesai menamatkan kursus diploma kejurulatihan bola sepak Pro A di Kuala Lumpur ketika ini,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia