Kedah belum sedia naik tarif air

Zamri Yusuf
Zamri Yusuf
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah masih belum bercadang untuk menaikkan kadar tarif air di negeri ini walaupun dicadangkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) kerana perlu memberi tumpuan meningkatkan perkhidmatan terlebih dahulu.

Exco Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga Negeri Kedah, Zamri Yusuf berkata, Syarikat Air Darul Aman (SADA) dicadangkan untuk menaikkan kadar tarif sehingga 20 peratus oleh Span namun tidak diterima oleh pihaknya.

Menurutnya, beliau tidak menolak kemungkinan kenaikan kadar tarif pada masa hadapan namun masih banyak perkara berkaitan mutu perkhidmatan air yang perlu diberi tumpuan.

"Perbincangan telah dijalankan dengan Span dan kami melihat kadar kenaikan 20 peratus tarif air yang dicadangkan tidak sesuai. Kita tidak menolak terus tetapi kadar 20 peratus itu tidak sesuai. Kita mahu meningkatkan dulu kualiti perkhidmatan air kepada semua pengguna, itu keutamaan yang mahu kita berikan dulu.

"Kurangnya hasil kepada SADA boleh ditampung dengan kaedah lain iaitu mengurangkan kos rawatan air melalui penjimatan air, selain mengurangkan pembaziran air tidak berhasil (NRW) sehingga 10 peratus dan juga mengurangkan kos operasi pengurusan SADA sehingga 10 peratus," katanya kepada sidang akhbar semasa Sidang DUN Kedah Ke-14 di Wisma Darul Aman, pagi tadi.

Zamri berkata, usaha-usaha tersebut mampu memberikan sedikit hasil kepada kerajaan negeri sebelum ia dikembalikan semula kepada rakyat.

Jelasnya, keuntungan boleh dicapai tanpa perlu meningkatkan kadar tarif air pada ketika ini.

Dalam pada itu, Zamri berkata, Kedah antara negeri yang tertinggi penggunaan air di negara ini iaitu purata 230 liter sehingga 250 liter bagi setiap individu untuk sehari.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kadar yang diminta oleh Span bagi kegunaan seorang adalah sehingga 180 liter sehari sahaja.

"Sebab apa kita guna air begitu banyak sebab kita bayar pada kadar tarif air yang rendah iaitu kira-kira 23 sen pada kadar 230 liter. Tetapi itu bukan bermaksud kita mahu naikkan kadar tarif, lebih baik kita menjimatkan penggunaan air.

"Kita sudah menjalankan kempen penjimatan air dan penerangan berhubung berapa liter yang diperlukan sehari oleh seorang individu.

"Sasaran saya di Kedah bagi tahun 2019 dan 2020 untuk kegunaan sehari bagi seorang pengguna adalah dapat diturunkan dari 250 liter kepada 200 liter sehari terlebih dahulu," katanya.