Maritim aktifkan SAR cari nelayan hilang di Pelabuhan Klang

Bot dinaiki mangsa hilang di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, semalam.
A
A

SHAH ALAM - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) malam tadi mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) empat nelayan lelaki selepas didapati hilang di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, dekat sini pada pukul 11 pagi, semalam.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, keempat-empat mangsa warga tempatan yang menaiki bot gentian kaca itu hilang berhampiran boya putih di Pelabuhan Barat, dalam jarak 0.3 batu nautika dari selatan Tanjung Mahang, Pelabuhan Klang.

Beliau berkata mangsa yang hilang adalah dua adik-beradik iaitu Mohd Faisol Romle, 38, dan Muhammad Firdaus Romle, 25, selain rakan mereka, Mohd Amirul Adli Khairi, 25, dan seorang lagi yang dikenali sebagai Nazaruddin.

Mohammad Rosli berkata pihaknya menerima laporan daripada polis mengenai insiden kehilangan mangsa pada 9.40 malam dan susulan itu, operasi SAR diaktifkan serta aset-aset Maritim digerakkan sekitar pukul 10.30 malam tadi.

Operasi SAR diteruskan untuk mengesan empat nelayan tempatan dilaporkan hilang di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, semalam.
Operasi SAR diteruskan untuk mengesan empat nelayan tempatan dilaporkan hilang di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, semalam.

“Menurut maklumat, kesemua mangsa sepatutnya tiba di Jeti Sungai Kembong, Pulau Indah, Pelabuhan Klang pagi semalam, namun seorang daripada mangsa ada menghubungi rakannya untuk meminta pertolongan kerana bot mereka gagal dihidupkan akibat masalah kerosakan pada bateri.

“Rakan tersebut kemudiannya bersama dua lagi lelaki cuba menjejaki mangsa di lokasi terakhir (berhampiran boya putih) yang dinyatakan menerusi WhatsApp namun bot gentian kaca berwarna putih itu gagal ditemui. Telefon bimbit mangsa juga tidak dapat dihubungi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Mohammad Rosli, operasi SAR yang dilakukan dalam radius lima batu nautika dari lokasi mangsa hilang setakat malam tadi masih belum menemui keempat-empat mangsa dan usaha tersebut diteruskan pagi ini dengan disertai anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang serta Pasukan Polis Marin Pulau Indah. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia