Inkues Adib: Task Force kuil tarik balik rayuan, permohonan

Visvanathan ditemui pemberita di mahkamah hari ini.
Visvanathan ditemui pemberita di mahkamah hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Jawatankuasa bertindak Kuil Sri Maha Mariamman menarik balik rayuan terhadap keputusan mahkamah tinggi yang menolak permohonan mereka untuk menjadi pihak-pihak berkepentingan dalam Inkues Kematian Muhammad Adib Mohd Kassim.

Peguamnya, M Visvanathan turut menarik balik permohonan mereka untuk menggantungkan prosiding inkuiri tersebut.

Panel tiga hakim, Datuk Umi Kalthum Abdul Majid, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Stephen Chung Hian Guan membenarkan permohonan Visvanathan.

Ketika ditemui pemberita, Visvanathan memberitahu keputusan itu dibuat mereka berpandukan afidavit Pegawai Pengendali Inkues, Hamdan Hamzah yang menyatakan kematian Muhammad Adib bukan akibat dipukul.

"Jadi jelas rumusan dibuat Jabatan Peguam Negara adalah kematian si mati (Muhammad Adib) bukanlah dibuat oleh mana-mana individu.

"Jadi, tidak perlu pihak kuil atau mana- mana pihak dipersalahkan sekiranya ada pihak yang mempersoalkan dengan menyatakan si mati dipukul," katanya.

Sementara itu, Hamdan ketika ditemui berkata, rumusan afidavit itu dibuat berdasarkan keterangan Ketua Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr Mohd Shah Mahmood (saksi ke-27) serta Pakar Bedah Forensik HKL, Dr Ahmad Hafizam Hasmi (saksi ke-24).

Artikel Berkaitan:

Hamdan ditemui pada prosiding hari ini.
Hamdan ditemui pada prosiding hari ini.

"Bagaimanapun saksi-saksi belum selesai memberi keterangan," katanya.

Pada 8 Februari lalu, Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan Mahkamah Koroner bahawa pemohon tiada neksus dengan insiden tersebut untuk menjadi pihak berkepentingan dan menyertai prosiding itu.

Prosiding perbicaraan inkuiri itu memasuki hari ke-26 dengan 29 saksi tampil memberi keterangan.

Muhammad Adib, 24, cedera parah dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu dan meninggal dunia pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara selepas 21 hari dirawat.