Perbicaraan Najib bersambung hari ini

A
A

Perbicaraan Najib bersambung pagi ini

Hari ini merupakan hari kedua perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan tuduhan salah guna kuasa dana SRC International Sdn Bhd.

Bekas perdana menteri itu berdepan tiga tuduhan pecah amanah dan satu salah guna kuasa melibatkan dana berjumlah RM42 juta yang dikaitkan dengan bekas anak syarikat 1MDB itu.

Mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, jika didapati bersalah beliau boleh dipenjara sehingga 15 tahun, denda sehingga RM15 juta atau lima kali ganda jumlah wang yang terlibat.

Terdahulupada 3 April lalu, peguam negara Tommy Thomas berkata pihaknya akan membuktikan Najib menerima rasuah RM42 juta yang dimasukkan ke akaun peribadinya.

Beliau berkata wang hasil aktiviti haram didakwa digunakan untuk membeli di butik mewah Chanel di Honolulu, Hawaii bernilai AS$130,625 (RM533,441) selain digunakan untuk mengubah suai kediaman Najib di Langgak Duta, Pekan, Pahang selain disalur ke akaun parti komponen BN.

ECRL tidak akan 'lompat' Terengganu: Daim

Enam stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bakal dibina di Terengganu, sekali gus membuktikan negeri itu tidak dipinggirkan dalam pelaksanaan projek berkenaan seperti dakwaan sesetengah pihak.

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin berkata rakyat Terengganu tidak perlu gusar dan keliru dengan keputusan jajaran baharu ECRL meskipun terdapat pengurangan kos sebanyak RM21.5 bilion menjadikan projek berkenaan kini bernilai RM44 bilion berbanding RM65.5 bilion sebelum ini.

Berdasar cadangan jajaran baharu itu, enam stesen di Terengganu meliputi Chukai, Kemasik, Dungun, Pengkalan Berangan, Kuala Terengganu dan Kampung Raja.

Selain pengurangan kos, jajaran baharu ECRL ialah dari Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Kelawang-Bangi/Kajang-Putrajaya dan seterusnya Pelabuhan Klang juga menyaksikan panjang landasan turut dikurangkan kepada 648 kilometer berbanding rancangan awal 688 kilometer.

Wisma Putra gesa Amerika keluarkan Malaysia dari Indikator K

Malaysia menyatakan bantahan keras terhadap tindakan Amerika Syarikat meletakkan Malaysia dalam Indikator “K” seperti yang dinyatakan dalam nasihat perjalanan dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat, 9 April lalu.

Difahamakan, tindakan tersebut diambil berikutan kebimbangan kerajaan Amerika Syarikat terhadap potensi penculikan atau insiden tebusan di beberapa kawasan tertentu di wilayah timur Sabah.

Menurut Wisma Putra, angka ketibaan pelancong di Sabah meningkat kepada 5.5 peratus, mencecah 3.87 juta pengunjung tahun lalu dan insiden penculikan juga menurun dengan ketara dan menghampiri paras sifar.

Pada 9 April lalu, Jabatan Negara Amerika Syarikat telah memperkenalkan satu petunjuk risiko terbaharu bagi Nasihat Perjalanan umumnya untuk memudahkan kerajaan berhubung dengan rakyatnya mengenai risiko penculikan dan tebusan oleh penjenayah dan pengganas seluruh dunia.

Terdapat 35 negara diletakkan di dalam senarai tersebut antaranya Afghanistan, Filipina, Somalia dan Turki.

Dua lelaki warga asing maut dilanggar komuter

Dua lelaki warga Myanmar maut dirempuh komuter di KM371.7 Sungai Buloh - Kepong, petang semalam.

Dalam kejadian jam 6.03 petang itu, lelaki berusia 30-an itu dipercayai menceroboh landasan untuk dijadikan jalan pintas ke kawasan berhampiran.

Memetik kenyataan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), pemandu komuter memberhentikan tren sebaik menyedari mengsa terpelanting keluar landasan.

Kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat. Pihak KTMB menyediakan komuter gantian bagi membolehkan 30 penumpang yang berada dalam tren tersebut meneruskan perjalanan mereka.

Israel jadikan Masjid Al Ahmar di Palestin kelab malam

Pihak berkuasa Israel mencetuskan kemarahan umat Islam Palestin apabila menukar Masjid Al Ahmar di wilayah yang diduduki menjadi sebuah kelab malam.

Difahamkan, Masjid Al Ahmar dibina pada abad ke-13 dan namanya kini ditukar kepada Khan Al Ahmar yang mana mula diceroboh pelampau Yahudi pada 1948.

Bangunan itu pada mulanya dijadikan sekolah Yahudi, kemudian pusat bagi kempen pilihan raya Parti Likud dan kemudian kedai pakaian sebelum ditukar kepada kelab malam.

Masjid Al Ahmar mendapat namanya kerana ia dibina menggunakan batu berwarna merah.

Beberapa tahun lalu, rejim Zionis dilihat sengaja mencetuskan konfrontasi apabila membuka beberapa bar dan pusat hiburan berhampiran Masjid aAl-Aqsa yang merupakan tempat suci ketiga umat Islam.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia