Demokrasi dan raja berperlembagaan

A
A
A

BARU-BARU ini, dilaporkan bahawa Datuk Osman Sapian telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Johor. Perkara ini menimbulkan pelbagai tanda tanya, termasuklah persoalan mengapa beliau meletakkan jawatan.

Pada masa yang sama, ia juga telah menimbulkan persoalan tentang siapa bakal menggantikan Osman. Pelbagai spekulasi telah dimainkan di media massa tentang pengganti beliau.

Sebelum ini, terdapat beberapa pihak yang mengutarakan pandangan bahawa dalam isu pelantikan menteri besar, tuanku sultan mempunyai kuasa mutlak. Pandangan ini tidak tepat.

Walaupun peranan melantik seorang menteri besar itu terletak di tangan Tuanku, ia bukan kuasa yang diamalkan secara mutlak.

Kita harus ingat bahawa sistem kerajaan yang diamalkan di negara ini ialah demokrasi berparlimen dengan raja berperlembagaan. Ini diamalkan di peringkat Persekutuan dan juga negeri-negeri.

Sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan ini serupa dengan apa yang diamalkan di negara-negara seperti United Kingdom dan Belanda. Raja adalah Ketua Negara (Head of State), tetapi kuasa terletak pada badan-badan negara seperti kerajaan, badan perundangan dan mahkamah.

Kuasa eksekutif dalam sistem raja berperlembagaan termaktub dalam kerajaan, manakala kuasa perundangan pada Parlimen (atau Dewan Undangan Negeri) dan kuasa kehakiman pada mahkamah.

Sistem raja berperlembagaan ini berlainan dengan sistem monarki mutlak (absolute monarchy) seperti di Brunei dan Arab Saudi. Negara raja berperlembagaan mengehadkan kuasa dan peranan raja pada apa yang termaktub dalam perlembagaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen, tiada mana-mana badan yang mempunyai kuasa mutlak. Semuanya dihadkan oleh apa yang termaktub dalam perlembagaan. Negeri-negeri di dalam Persekutuan Malaysia juga sama. Setiap negeri mempunyai perlembagaan tersendiri, tetapi peranan raja dan kerajaan adalah sama.

Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor, Perkara 3(1) Bahagian Kedua menyatakan bahawa baginda sultan melantik seorang menteri besar yang secara amnya seorang yang berbangsa Melayu dan bergama Islam sebagai pegawai eksekutif kanan di dalam negeri Johor.

Perkara 4(2) pula menyatakan bahawa menteri besar dilantik oleh baginda sultan dalam kalangan ahli Dewan Undangan Negeri Johor yang pada pertimbangan baginda mungkin sekali mendapat keyakinan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri Johor.

Baginda sultan mengikut Undang-undang Tubuh berhak melantik menteri besar, tetapi baginda tidak mempunyai budi bicara mutlak dalam lantikan; ia mestilah mengikut apa yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh iaitu ‘mungkin sekali mendapat keyakinan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri Johor’.

Apa akan terjadi ialah parti yang memenangi majoriti kerusi dalam Dewan Undangan Negeri akan memberikan nama kepada baginda sultan dan nama itulah yang akan dilantik oleh baginda sebagai Menteri Besar Johor.

Rakyat memilih parti yang akan memerintah negeri, kemudian parti yang memerintah negeri akan mengetengahkan calon menteri besar untuk dilantik oleh baginda sultan. Inilah ciri-ciri pemerintahan yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan dalam sebuah persekutuan.

Walau siapapun yang akan menerajui negeri Johor selepas ini, amalan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan akan terus diamalkan di Malaysia.

* Syahredzan Johan ialah peguam di Kuala Lumpur