Pemilu Indonesia: Jokowi atau Prabowo?

A
A
A

PEMILU Indonesia bakal berlaku pada 17 April ini. Jokowi, Presiden Indonesia yang dilantik sejak 2014 akan ditentang oleh Prabowo Subianto.

Jokowi bergandingan dengan Ma’ruf Amin, Ketua Ulama Indonesia yang akan menjadi Naib Presiden Indonesia jika memenangi Pemilu 2019.

Manakala Prabowo Subianto bergandingan dengan Sandiaga Uno, seorang usahawan berjaya dan mantan Timbalan Gabenor Jakarta.

Pemilu 2019 menyaksikan sokongan kepada Jokowi datang dari Pulau Jawa dan Kalimantan. Manakala Prabowo dari Sumatera, Sulawesi dan beberapa kepulauan di Indonesia Barat.

Pemilu 2019 turut menyaksikan 16 parti bertanding termasuk empat parti lokal Aceh. Aceh diberikan hak autonomi menyebabkan wilayah tersebut mempunyai keistimewaan memiliki parti lokal berbanding wilayah-wilayah lain.

Pertambahan empat parti baharu dan satu parti lokal Aceh adalah sejajar dengan pertambahan generasi muda berumur bawah 25 tahun, iaitu 20 peratus daripada keseluruhan pendaftar pemilih Indonesia.

Ini bermakna suara anak muda mampu menentukan siapakah Presiden Indonesia 2019 jika peratusan Golput menurun dalam kalangan anak muda.

Sejarah Pilihan Raya Umum Indonesia atau Pemilu bermula pada tahun 1955 selepas Indonesia mendapat kemerdekaan 10 tahun yang lalu.

Artikel Berkaitan:

Parti Nasional Indonesia yang dipimpin Sukarno bertanding melawan parti Masyumi. Akhirnya, Sukarno menang dalam Pemilu 1955. Idea dan lagu Parti Masyumi kemudian diterjemahkan ke dalam parti Pas di Malaysia.

Pada tahun 1971 Parti Golkar yang dipimpin Suharto bertanding melawan parti Nahdatul Ulama setelah Sukarno dilepaskan jawatan Presiden Indonesia pada 1967.

Pemilu 1971 adalah yang kedua dimenangi oleh Suharto sehinggalah Pemilu ketujuh iaitu pada tahun 1997. Pada tahun 1999, berlakunya reformasi rakyat yang menyebabkan kejatuhan Suharto.

Pemilu 1999 menyaksikan BJ Habibie yang memimpin parti Demokrasi Indonesia Perjuangan mendapat 153 kerusi Dewan Perwakilan Rakyat menewaskan Golkar yang mendapat 120 kerusi.

Walaupun begitu, sistem Pemilu dari 1955 hinggalah 1999 adalah tertutup dan tidak bebas. Bermula Pemilu 2004 hingga kini sistem Pemilu di Indonesia semakin bebas dan calon presiden dibenarkan berpidato.

Perubahan ini tidak menyebabkan Golput atau Golongan Putih atau Golongan Yang Layak Tidak Mengundi semakin lama semakin kecil. Sebaliknya sehingga Pemilu 2019 Golput dijangka melebihi 30 peratus daripada 192 juta rakyat Indonesia.

Situasi ini tidak sejajar dengan perbelanjaan Pemilu 2019 yang dijangka meningkat dari 15.62 trilion Rupiah pada 2014 kepada 25.59 trilion Rupiah. Pertambahan perbelanjaan ini disebabkan peningkatan kerusi Dewan Perwakilan Indonesia daripada 560 pada Pemilu 2014 kepada 575.

Peningkatan kerusi ini juga sejajar dengan peningkatan Dewan Perwakilan Provinsi daripada 33 kepada 36 kerusi.

Ia turut menyebabkan pertambahan guna tenaga pengawas Pemilu dan kenaikan honorarium tenaga pengawas daripada 1.7 trilion Rupiah pada 2014 kepada 3.29 trilion Rupiah pada Pemilu 2019.

Malahan perbelanjaan calon individu dalam Pemilu 2019 turut meningkat dari 1 juta Rupiah pada 2014 kepada 2.5 juta Rupiah bagi kerusi Dewan Perwakilan Daerah diikuti perbelanjaan parti yang turut meningkat dari 7.5 juta Rupiah pada 2014 kepada 25 juta Rupiah bagi kerusi Dewan Perwakilan Rakyat.

Berbagai isu yang ditangani dalam tempoh Pemilu 2019 iaitu politik wang, politik kebencian, politik keamanan dan politik neutraliti. Indonesia memiliki wilayah yang sangat luas dan jumlah pendaftar yang terbesar di rantau Asia Tenggara akan dilaksanakan secara serentak buat pertama kali.

Situasi ini memerlukan penjagaan keselamatan pihak berkuasa sehinggalah pihak Komisi Pemilihan Umum (KPU). KPU berusaha menangani sebanyak 514 kes politik wang yang melibatkan wilayah Papua Barat, Maluku, Sulawesi, Flores, Sumatera Barat, Lampang, Aceh dan sebagainya.

Manakala politik kebencian yang melibatkan kebencian ras dan sebagainya adalah amat genting kerana pertama kalinya politik media sosial digunakan sepenuhnya termasuklah politik hastag.

Untuk menegakkan politik keamanan, ketegasan undang-undang semakin ketat sehingga ada kalanya kebebasan bersuara terancam. Ini menyebabkan Pemilu 2019 telah mendiamkan sebahagian besar rakyat Indonesia untuk bersuara.

Buat pertama kali penglibatan suara anak-anak muda amat penting disebabkan bilangan mereka semakin membesar. Golongan anak muda ini lahir dalam transisi antara politik Suharto kepada politik reformasi. Ini menyebabkan beberapa perubahan kejutan keputusan sudah dijangka sama ada berpihak kepada Jokowi atau Prabowo dalam Pemilu 2019.

* Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan