Rakyat kurang yakin dengan PH: PKR Perak

Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak
Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak
A
A
A

IPOH - PKR Perak menyifatkan kekalahan PH merebut kerusi DUN Rantau disebabkan rakyat masih kurang yakin dengan usaha dilakukan oleh kerajaan PH.

Pengerusinya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, keadaan itu turut dibantu melalui laporan media yang mewujudkan persepsi bahawa dalam menangani isu semasa, tiada usaha kolektif dilakukan di bawah kerajaan PH.

Menurutnya, usaha yang dilakukan parti komponen di dalam PH harus lebih konsisten kerana walaupun tewas di kubu kuat BN, ia tidak boleh dijadikan alasan kerana masa berpolitik sesama sendiri sudah tamat.

"Mungkin memang masih ada jurang perbezaan pendapat dalam aspek pentadbiran dan polisi negara, namun Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang bekerja keras untuk meyakinkan rakyat bahawa kita akan tetap konsisten dalam usaha reformasi.

"Perubahan itu tidak mudah dan kita tidak boleh jadikan ini sebagai titik nilai sentimen rakyat Malaysia menolak kerajaan PH. Rapatkan saf demi mencapai matlamat utama kita iaitu mentadbir negara secara kolektif," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai keputusan PRK kerusi DUN Rantau yang mengekalkan kemenangan penyandangnya, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menewaskan tiga calon lain iaitu calon PH, Dr S Streram serta dua calon Bebas iaitu R Malar dan Mohd Nor Yassin.

Dalam pada itu, Farhash Wafa Salvador yang juga Setiausaha Politik Anwar mengingatkan pentadbiran kerajaan negeri supaya menggunakan saluran yang betul dalam menangani sesuatu masalah.

"Kerajaan negeri juga haruslah reseptif akan pendapat parti komponen dalam aspek pentadbiran. Seperti yang saya sebut sebelum ini, usaha secara kolektif itu penting. Gambaran dari media juga harus lebih adil dan saluran yang betul harus digunakan apabila wujud beberapa agensi dalam menangani masalah.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan PH akan sentiasa mengutamakan rakyat dan bezanya dengan kerajaan BN adalah langkah yang diambil bermatlamat jangka panjang. Kadangkala kita senang melatah namun inilah lumrah manusia," katanya.