Guna sangkar tangkap monyet liar

ADLY
ADLY
A
A
A

MELAKA - Kerajaan Melaka akan mengguna pakai inovasi sangkar monyet oleh Pertubuhan Peladang Terengganu bagi mengatasi gangguan haiwan liar berkenaan, terutama di kawasan pedalaman berhampiran dengan perumahan.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, sangkar itu akan diletakkan di kawasan tertentu seperti di kawasan yang mempunyai isu gangguan monyet liar sebagai projek perintis, sebelum penggunaannya diperluaskan ke kawasan lain.

“Penggunaan sangkar ini terbukti keberkesanannya dalam mengatasi masalah monyet liar di beberapa kawasan dan kita akan bekerjasama dengan Pertubuhan Peladang Terengganu untuk menyelesaikan masalah ini yang telah sekian lama tiada penyelesaian.

“Kita melihat kaedah konvensional iaitu membunuh monyet liar berkenaan dengan cara meracun atau menembak bukan jalan penyelesaian terbaik,” katanya selepas merasmikan Sukan Rakyat Kampungku Sayang Bukit Baru di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penggunaan sangkar itu lebih relevan kerana ia hanya melibatkan peruntukan yang tidak begitu besar iaitu kira-kira RM1,000 untuk satu sangkar yang dapat memuatkan 25 ekor monyet liar dalam satu-satu masa, selain boleh dipindahkan ke kawasan lain yang memerlukan.

Katanya, setakat ini pihaknya sedang mendapatkan maklum balas dari segi teknikal bagaimana monyet yang ditangkap hendak diuruskan dengan baik, menerusi kaedah yang lebih berkesan.

Adly berkata, ia kerana haiwan yang telah ditangkap tidak boleh dilepaskan ke hutan simpan kekal di negeri ini, seperti di sesetengah negeri kerana hutan simpan di negeri itu berhampiran dengan kawasan penduduk.

Artikel Berkaitan: