Selangor tertinggi kes denggi

Zuraida (empat, kiri) melepaskan konvoi Basmi Denggi KPKT ke Pangsapuri Ampang Mewah, semalam.
Zuraida (empat, kiri) melepaskan konvoi Basmi Denggi KPKT ke Pangsapuri Ampang Mewah, semalam.
A
A
A

AMPANG - Selangor mencatatkan jumlah kes denggi tertinggi, iaitu hampir separuh daripada bilangan yang direkod di negara ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, daripada 39,605 kes direkodkan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga 12 April lalu, 23,211 daripadanya adalah di Selangor.

“Kita memandang serius isu denggi ini, namun pembasmian wabak di peringkat komuniti bergantung sepenuhnya kepada kerjasama penduduk setempat.

“Saya minta masyarakat bersama-sama membantu memastikan komuniti kita bebas denggi,” katanya.

Zuraida berkata, pemilihan Ampang Jaya khususnya di Pangsapuri Ampang Mewah sebagai lokasi pelancaran adalah kerana ia merupakan antara kawasan ‘hotspot’ kes denggi yang disenaraikan Kementerian Kesihatan.

“Ampang perlu bebas daripada denggi kerana menurut statistik, kawasan itu paling tinggi merekodkan kes denggi di Selangor,” katanya ketika melancarkan Kempen Gotong Royong Perdana Basmi Denggi sempena Karnival Komuniti kementeriannya di sini, semalam.

Lapan kawasan membabitkan pihak berkuasa tempatan turut melaksanakan program gotong-royong serentak di Ampang Jaya, Kajang, Klang, Sepang, Shah Alam, Petaling Jaya, Subang Jaya dan Selayang.

Dalam pada itu, Zuraida berkata, kamera litar tertutup (CCTV) dan lampu jalan LED akan dipasang di kawasan kadar jenayah di sekitar Ampang Jaya dalam usaha membanteras jenayah dan memantau kes pembuangan sampah merata-rata.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pemasangan CCTV membabitkan kawasan mencatat paling banyak kes jenayah dan pembuangan sampah yang tinggi.

“Kita sudah membuka tender bagi pemasangan CCTV ini, ia akan dikembangkan ke seluruh negara dan kawasan perumahan yang menghadapi masalah pembuangan sampah yang teruk,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) pada Mei ini di 240 kawasan perumahan berstrata di sekitar Ampang.

“Pemasangan CCTV ini adalah salah satu usaha bagi memastikan penduduk menjaga kebersihan setempat memandangkan Ampang merupakan salah satu kawasan ‘hotspot’ wabak denggi,” katanya.