Malar puas hati walau hanya dapat 83 undi

Malar ketika ditemui pemberita sebaik selesai mengundi di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Chung Hua Rantau. - Foto Adam Amir Hamzah
A
A

SEREMBAN - Meskipun hanya memperoleh 83 undi, calon Bebas, R Malar berpuas hati dengan keputusan PRK DUN Rantau semalam.

Katanya, keputusan yang menyaksikan calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan menang itu menunjukkan dia bukan bertanding untuk memecahkan undi.

"Saya masuk bertanding berhabis-habisan. Saya telah lantang bersuara terhadap kerajaan mengenai isu-isu yang saya rasa tidak puas hati.

"Saya telah mohon kepada penduduk Rantau memilih saya bagi membawa perubahan dari segi penjanaan ekonomi, pengangkutan yang tidak sempurna dan baik pulih infrastruktur. Tetapi, pengundi mahukan Tok Mat sebagai wakil mereka, jadi saya hormat keputusan itu," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, sebagai suri rumah dia gembira kerana telah mengambil bahagian dalam proses demokrasi pilihan raya negara.

"Ini kali pertama dan terakhir saya bertanding dalam pilihan raya. Tetapi saya harap lebih ramai rakyat akan tampil terlibat dalam proses demokrasi negara," katanya.

Malar juga berterima kasih kepada 83 pengundi yang mempercayainya.

"Saya mahu membantu walau apa pun masalah mereka mengikut kemampuan saya.

"Selain itu, saya akan kembali melakukan kerja yang saya cintai iaitu menjadi suri rumah. Jaga rumah kampung, jaga enam ekor anjing saya dan memasak untuk suami saya," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia