Hadi senada dengan Tun M

Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang senada dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa demonstrasi tidak akan menjatuhkan sesebuah kerajaan yang dipilih secara demokrasi.

Menurutnya, demonstrasi yang dilakukan Pas bersama Umno dan badan bukan kerajaan (NGO) Sabtu lalu jelas bukan untuk menjatuhkan kerajaan.

“Tujuan demonstrasi itu bukan untuk jatuhkan kerajaan, kita adakan cuma untuk menyatakan kesyukuran (kerajaan tidak meratifikasi ICERD).

“Hanya melalui PRU jalan yang terbaik untuk menjatuhkan kerajaan, demonstrasi adalah satu daripada amalan demokrasi, tapi kena berdemo dengan aman dan tidak mengganggu rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menjayakan sesi Bicara Minda di Dewan Karangkraf hari ini.

Terdahulu, Tun Mahathir dalam program temu bual ‘Bicara Khas Bersama Perdana Menteri’ di RTM kelmarin menjelaskan bahawa demonstrasi Sabtu lalu tidak akan berjaya menjatuhkan kerajaan, walaupun kerajaan PH membenarkan demonstrasi dijalankan, hanya melalui pilihan raya sesebuah kerajaan itu boleh ditukar.

Dalam pada itu, Abdul Hadi juga menjelaskan bahawa telah menjadi amalan Pas bahawa parti itu akan bekerjasama dengan semua pihak dalam isu-isu yang bermanfaat kepada negara dan umat Islam.

“Pas bekerjasama dengan semua pihak bukan dengan Umno sahaja,” katanya ringkas ketika menjawab soalan media tentang tindakan parti itu yang sejak kebelakangan ini dilihat sering bekerjasama dengan Umno walaupun sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan bahawa Pas boleh bergerak sendiri.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Abdul Hadi menyangkal dakwaan bahawa ramai pemimpin Umno Sabah keluar parti hari ini kerana salah satunya berpunca daripada kerjasama Pas dan Umno.

Menurutnya, dalam sesebuah negara demokrasi boleh berlaku macam-macam perkara.

“Boleh lompat parti, keluar parti, boleh tubuh parti dan nak bubarkan parti, semua boleh.

“Namun dalam isu di Sabah, kena tahu juga apa sebab mereka melompat. Tapi kena tanya mereka la apa sebabnya, jangan tanya saya, saya tak tahu,” katanya.