Lelaki ajak polis bertumbuk

image
image
A
A
A
KUALA TERENGGANU - Bengang dirinya ditahan polis selepas disyaki memiliki dadah, seorang lelaki bertindak biadab mengeluarkan kata-kata kesat dan ugutan terhadap sepasukan polis di Kuala Nerus, Ahad lalu.
Tidak cukup dengan itu, lelaki berusia 44 tahun dari Seberang Takir berkenaan berlagak berani apabila mengarahkan anggota yang bertugas dalam Ops Lejang di Gong Badak itu membuka gari pada tangannya sebelum mengajak bertumbuk dalam kejadian kira-kira jam 5 petang.
Menurut sumber, sebelum kejadian, sepasukan anggota yang sedang menjalankan tugas rondaan di kawasan pentadbiran Balai Polis Gong Badak, Kuala Nerus terserempak suspek di belakang rumah kosong di Kampung Baru, Seberang Takir.
Artikel Berkaitan:
“Gerak geri suspek yang berseorangan ketika itu dicurigai sebelum anggota bertugas menghampirinya lalu menunjukkan kad kuasa polis. Suspek yang enggan memberi kerjasama semasa proses tangkapan bertindak agresif sebelum berlaku pergelutan, namun akhirnya berjaya ditangkap.
“Hasil pemeriksaan ke atas tubuh badannya menjumpai beberapa jenis dadah diletak di dalam botol cerah dan beberapa tiub straw dalam genggaman tangan kanannya,” katanya.
Sementara itu, Pendaftar Mahkamah Kuala Terengganu, Wan Aziantie Wan Ab Karim@ Isa membenarkan suspek direman selama empat hari untuk siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Akta Dadah Berbahaya 1952.