Anwar minta polis ambil tindakan

Anwar beramah mesra dengan warga Kuantan sebaik sahaja tiba di pekarangan Pejabat PKR Pahang, hari ini.
Anwar beramah mesra dengan warga Kuantan sebaik sahaja tiba di pekarangan Pejabat PKR Pahang, hari ini.
A
A
A

KUANTAN - PKR menyokong sebarang tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa terhadap beberapa individu yang bergaduh dan bertindak memeriksa kenderaan pelbagai guna (MPV) milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan itu tidak boleh diterima dan disifatkan biadab.

Menurutnya, beliau akan merujuk insiden tersebut kepada Biro Disiplin parti sekiranya pihak terbabit adalah ahli PKR.

"Sama ada (mereka) bergaduh atau ada yang pergi 'check' kereta polis, saya sebagai Presiden Keadilan tidak pandang ringan dan saya meminta pihak PDRM mengambil tindakan sewajarnya.

“Bagi saya tidak ada sebab mengapa parti atau pekerja parti bersikap biadab atau angkuh untuk mengambil alih kuasa daripada polis.

"Kalau benar ini berlaku, saya akan menyokong segala tindakan tegas daripada pihak polis. Ini kerana PKR adalah parti yang menghormati institusi undang-undang... kita juga sudah rujuk perkara ini kepada Lembaga Disiplin parti untuk tindakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Pejabat PKR Pahang, hari ini.

Hadir Pengerusi PKR negeri yang juga ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah.

Artikel Berkaitan:

Anwar menandatangani plak sebagai merasmikan pejabat PKR Pahang hari ini.
Anwar menandatangani plak sebagai merasmikan pejabat PKR Pahang hari ini.

Insiden pergaduhan yang didakwa tercetus antara penyokong PH semalam, selepas pengumuman keputusan PRK Rantau.

Pergaduhan di bilik gerakan PH di Bandar Ekar, Rantau, malam tadi, dipercayai berpunca akibat ketidakpuasan hati berhubung pembayaran kempen PRK berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop dilaporkan berkata, kejadian 7.30 malam itu menyebabkan seorang lelaki berusia 50 tahun cedera akibat ditumbuk dan dicekik.

Sementara itu, dalam kejadian membabitkan beberapa individu yang didakwa petugas PH memeriksa MPV milik PDRM pula, Mohamad berkata, setakat ini dua individu sudah ditahan bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan berlainan, Anwar berkata, PH menerima kekalahan secara terbuka kerana di Rantau adalah kubu kuat BN.

Namun, katanya, PH perlu mengambil langkah yang sesuai bagi mengembalikan kepercayaan rakyat.