Serah kepada polis lakukan siasatan

Aminuddin (tengah) bersama barisan Exco dan mereka yang terlibat dalam majlis itu di Seremban 2.
A
A

SEREMBAN - Pengurus Pilihan Raya PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyerahkan kepada polis berhubung siasatan membabitkan dua insiden melibatkan penyokong ketika PRK DUN Rantau semalam.

Katanya, beliau sedia maklum perkara itu selain tidak mahu mengulas lanjut mengenainya berikutan kes berkenaan masih dalam siasatan polis.

"Kita serahkan kes itu kepada pihak polis dan percaya kes ini dapat diselesaikan dengan sebaiknya," katanya ketika diminta mengulas mengenai kejadian berkenaan hari ini.

Terdahulu, dua kejadian berlaku membabitkan penyokong di Rantau sehingga tercetusnya ketegangan dan tular dilaman sosial.

Kes berkenaan bagaimana pun, dalam siasatan polis dan perkara itu disahkan oleh Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Terdahulu, Aminuddin yang juga Menteri Besar hadir merasmikan Karnival Pendidikan Negeri Sembilan di Seremban 2 melibatkan 17 institusi pendidikan di negeri ini.

Peluang tersebut sebagai inisiatif kerajaan negeri membuka peluang kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia melanjutkan pengajian dalam bidang bersesuaian selain melihat peluang pekerjaan dalam bidang yang ditawarkan.