KPDNHEP Perak sita 1,790kg LPG

Pegawai KPDNKK memeriksa tong LPG yang disita dalam serbuan ke atas premis tersebut.
A
A

IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak menyita 1,790 kg gas cecair petroleum (LPG) dalam satu serbuan di sebuah premis di Chemor, di sini, semalam.

Ketua Pegawai Penguat kuasa, Shamsul Nizam Khalil berkata, pasukannya diketuai Penolong Pegawai Penguat kuasa, Nor Rahmat Abd Rahaman menjalankan pemeriksaan tersebut selepas mendapat maklumat wujudnya aktiviti penyelewengan barang kawalan LPG bersubsidi disimpan di premis yang tidak dilesenkan itu.

Katanya, pemerhatian dan risikan selama dua minggu mendapati pemilik premis menjadikan sebuah stor tanpa lesen sebagai tempat simpanan sementara barang kawalan LPG sebelum diedarkan kepada pelanggan di sekitar Ipoh.

"Hasil pemeriksaan dan tindakan pada hari kejadian, seorang lelaki berumur lingkungan 70 tahun ditahan dan mengaku sebagai pemilik stor simpanan tersebut. Lelaki ini

kemudiannya diambil keterangan untuk siasatan lanjut.

"Pihak KPDNHEP telah mengambil tindakan dengan menyita sebanyak 196 tong LPG pelbagai jenama kegunaan domestik dengan berat keseluruhan 1,790 kg di lokasi tersebut," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Shamsul Nizam berkata, nilai rampasan keseluruhan bagi serbuan tersebut dianggarkan sebanyak RM19,081.

Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 melibatkan pemilik premis dan pembekal LPG terbabit.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, bagi kesalahan melibatkan barang kawalan LPG untuk Januari 2017 hingga 11 Disember 2018, sebanyak 24 kes dihasilkan dengan nilai rampasan berjumlah RM555,379.

Menurutnya, KPDNHEP memandang serius terhadap mana-mana individu yang menjalankan urusniaga atau apa-apa aktiviti berkaitan barang kawalan tanpa terlebih dahulu mempunyai lesen/kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan Malaysia.