Dua maut dalam nahas berasingan

A
A
A

MELAKA - Seorang kontraktor maut selepas kereta yang dipandunya merempuh trak tunda yang sedang dalam proses menunda kenderaan lain di tepi jalan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah - Jasin berhampiran Kandang menghala ke Telok Mas pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5.28 pagi itu, mangsa Mah Peng Chen, 42, yang beralamat di Taman Dato Abdul Aziz, Umbai meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian trak tunda terbabit berada di tepi bahu jalan dalam keadaan melintang untuk menunda kenderaan lain.

"Kereta jenis Toyota Vios yang dipandu mangsa dipercayai telah merempuh pada bahagian sisi kanan trak tunda dan mayat mangsa dikeluarkan dengan bantuan pasukan bomba dan penyelamat.

"Mayat telah dibawa ke Hospital Besar untuk bedah siasat manakala kedua-dua kenderaan terlibat telah ditahan untuk siasatan lanjut dan pemeriksaan Puspakom," katanya.

Dalam kejadian berasingan, seorang pekerja kilang, Jefpini Jok, 40, maut manakala pemboncengnya yang berusia 24 tahun cedera selepas motosikal ditunggangi terbabas di Jalan Dato Mohd Zin berhampiran Pasar Borong, Batu Berendam, di sini pada jam 2.48 pagi tadi.

Menurut Afzanizar, kemalangan dipercayai berpunca apabila motosikal dinaiki dua lelaki terbabit dari persimpangan lampu isyarat Merdeka Permai menghala ke persimpangan lampu isyarat Taman Merdeka telah hilang kawalan lalu terbabas terkena tembok batu pembahagi lorong di tengah jalan.

Mangsa yang maut dipercayai terhentak di batu pembahagi lorong dan tiang lampu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemboncengnya pula menerima rawatan di Hospital Melaka.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.