Mcobikers rai Alumni MCKK

Adnan (kanan) dan Khairul Azhar (tiga dari kanan) teruja mendengar kata-kata perangsang daripada salah seorang koordinator konvoi bermotosikal kuasa tinggi Mcobikers sewaktu dalam perjalanan ke MCKK, Kuala Kangsar, semalam.

A
A
A

KUALA KANGSAR - Lebih 60 alumni Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) menjayakan penganjuran program konvoi bermotosikal berkuasa tinggi ke sekolah bersejarah itu bersempena Minggu Alumni MCKK 2019 yang berakhir semalam.

Penaung Persatuan Biker Murid-murid Tua MCKK (Mcobikers), Datuk Adnan Maaruf berkata, program konvoi itu julung kali dianjurkan pihaknya selepas penubuhan persatuan itu diselesaikan pada awal tahun ini.

Menurutnya, kesemua peserta konvoi itu terdiri daripada pelajar alumni kelas Tingkatan 5 Tahun 1961 sehingga 1999 dengan beliau sendiri ialah peserta paling tua pada umur 76 tahun.

Lebih 60 peserta konvoi bermotosikal berkuasa tinggi Mcobikers teruja menamatkan perjalanan di pekarangan bangunan bersejarah MCKK, Kuala Kangsar, semalam.
Lebih 60 peserta konvoi bermotosikal berkuasa tinggi Mcobikers teruja menamatkan perjalanan di pekarangan bangunan bersejarah MCKK, Kuala Kangsar, semalam.

“Selain meraikan program tahunan Minggu Alumni MCKK 2019 atau lebih dikenali Old Boy Weekend 2019, Mcobikers juga turut menganjurkan konvoi ini bagi menyambut ulang tahun 90 tahun penubuhan Persatuan Murid-murid Tua MCKK (Mcoba) pada tahun ini.

“Objektif utama program untuk mengeratkan hubungan silaturahim sesama ahli terdiri pelbagai lapisan tahun kemasukan ke MCKK di samping berkongsi minat dalam sukan permotoran berkuasa tinggi,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Turut hadir Setiausaha Mcobikers, Khairul Azhar Anwar dan Ketua Pegawai Eksekutif Nu IdeAktiv Sdn Bhd (Karangkraf Digital 360 Sdn Bhd), Syamil Fahim Mohamed Fahim.

Sementara itu, Khairul Azhar berkata, pihaknya mengambil masa lebih sebulan untuk mengumpulkan ahli-ahli Alumni MCKK yang cenderung meminati bidang permotoran kuasa tinggi agar menyertai Mcobikers.

Artikel Berkaitan:

Aksi peserta konvoi Mcobikers yang mengamalkan gaya tunggangan motosikal secara selamat sewaktu berkonvoi ke MCKK, Kuala Kangsar, semalam.
Aksi peserta konvoi Mcobikers yang mengamalkan gaya tunggangan motosikal secara selamat sewaktu berkonvoi ke MCKK, Kuala Kangsar, semalam.

Menurutnya, inisiatif mengumpulkan ahli persatuan menggunakan laman Facebook kemudiannya membawa kepada idea penganjuran konvoi motosikal berkuasa tinggi dari Kuala Lumpur ke MCKK sempena Minggu Alumni MCKK.

“Mcobikers turut merancang mengadakan konvoi ke setiap bangunan Mcoba di setiap negeri di Semenanjung Malaysia bagi mengeratkan hubungan ahli Alumni MCKK di setiap negeri,” katanya.