Ambil serius titah Sultan Johor

Khairul Faizi
A
A

JOHOR BAHRU - Menteri Besar Johor baharu, Dr Sahruddin Jamal diharap mengambil perhatian serius terhadap titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar terhadapnya.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, Sahruddin yang juga ADUN Bukit Kepong dan bekas Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri diharap akan memberi tumpuan kepada tugas sebagai seorang menteri besar.

"Justeru diharapkan MB Johor yang baharu akan mengambil perhatian yang serius terhadap peringatan baginda Sultan ini.

"Beliau juga diharap akan fokus kepada tugas sebagai seorang menteri besar yang dihormati dan dikasihi rakyat tanpa desakan daripada pihak luar yang mungkin tidak memahami senario kita di Johor," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Selain itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Sahruddin di atas pelantikan sebagai Menteri Besar Johor ke-17.

Katanya, Sahruddin diharapkan dapat melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab serta berintegriti dalam memajukan Johor.

Terdahulu, Sultan Johor bertitah mengucapkan tahniah kepada Sahruddin selain menzahirkan harapan dapat dapat memikul tanggungjawab dengan jujur, ikhlas dan amanah serta mengutamakan kepentingan negeri.

Baginda Tuanku juga mahukan Sahruddin memberi keutamaan kepada isu pencemaran sungai selain menasihatkan kerajaan supaya tidak membuang masa dengan banyak bercakap tentang perkara yang tidak berfaedah, menabur fitnah dan mereka-reka cerita hanya untuk menarik perhatian atau mengelirukan rakyat.

Sultan Johor sebaliknya mahu kerajaan menumpukan perhatian untuk membantu kehidupan rakyat yang susah dan meningkatkan kemajuan ekonomi negara.