Tragedi Bukit Kukus: Laporan awal siasatan dibentang

Kejadian tanah runtuh di Bukit Kukus melibatkan 13 buah kontena yang menyebabkan sembilan kematian Oktober lalu.
A
A

GEORGETOWN - Jawatankuasa Siasatan Khas yang ditubuhkan untuk menyiasat punca kejadian tanah runtuh di tapak Projek Pembinaan Jalan Berkembar Paya Terubong di Jalan Bukit Kukus telah membentangkan laporan awalnya dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Pulau Pinang tadi.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, perbentangan itu dibuat Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa terbabit.

Menurutnya, perbentangan laporan tersebut menjurus kepada beberapa penemuan yang diperolehi dari siasatan yang dibuat.

"Mesyuarat Exco akan melihat dan membuat keputusan berdasarkan penemuan yang diperolehi.

"Kerajaan negeri akan mengumumkan kepada orang ramai dalam satu sidang media kelak," katanya kepada tadi.

Jawatankuasa siasatan itu telah ditubuhkan oleh kerajaan Pulau Pinang untuk menyiasat punca runtuhan yang telah mengorbankan sembilan nyawa dalam kejadian 19 Oktober lalu.

Jawatankuasa itu juga bertanggungjawab untuk meneliti semula semua maklumat tentang projek jalan berkembar yang menghubungkan Bukit Jambul dengan Balik Pulau itu.

Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan wakil Penang Forum antara yang terlibat.

Selain Ahmad Zakiyuddin, Jawatankuasa Khas Siasatan Bukit Kukus dianggotai Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir negeri, Zairil Khir Johari; Ketua Bahagian Ukur Bahan, Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Majmin Sayeed Ahamad; panel The Institution of Engineers (IEM) Pulau Pinang merangkap pakar hidrologi dan hidraulik, Ting Chek Choon; panel The Institution of Engineers (IEM) Pulau Pinang merangkap pakar geotek, Yau Ann Nian, panel The Institution of Engineers (IEM) Pulau Pinang merangkap pakar geologi, Baddrul H M Taib dan urusetia Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Pulau Pinang, Dr Saiful Rizan Yusoff.

Dalam kejadian Oktober lalu, sembilan mangsa ditemui maut tertimbus manakala tiga lagi cedera apabila 13 kontena yang dijadikan tempat tinggal pekerja tapak ranap ditimpa tanah runtuh.

Projek bernilai RM545 juta di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) itu dijangka siap pada Mac 2020 kerana beberapa faktor antaranya cabaran di tapak dan proses pengambilan tanah.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan mengumumkan tentang hasil siasatan kejadian tanah runtuh di Lembah Permai, Tanjung Bungah setelah siasatan itu lengkap dalam beberapa bulan lagi.

Beliau berkata, siasatan oleh Suruhanjaya Siasatan Pulau Pinang itu kini berada di peringkat akhir setelah dua kali dilanjutkan tempoh siasatannya.

"Ada beberapa bulan lagi sebelum tarikh akhir bagi lanjutan tempoh siasatan yang kedua ini. Sebelum ini sudah tangguh sekali, dan kini mereka berada dalam tempoh siasatan yang kedua.

"Selepas ini, suruhanjaya siasatan ini akan membentangkan penemuan terbaru mereka dan ia akan diumumkan kepada khalayak selepas perbentangan tersebut," katanya

Suruhanjaya Siasatan Pulau Pinang itu diketuai bekas Pengerusi Majlis Peguam Malaysia, Datuk Yeo Yang Poh dan dibantu pakar geoteknik, Datuk Dr Gue See Saw dan ahli akademik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor, Profesor Dr Ramli Nasir.

Suruhanjaya itu akan mengenal pasti punca kegagalan kerja di cerun di Lengkok Lembah Permai di Tanjung Bungah yang telah mengorbankan 11 nyawa.