DAP tunggu senarai Exco baharu

Liew Chin Tong
A
A

JOHOR BAHRU - Semua parti komponen PH khususnya DAP Johor menzahirkan sokongan terhadap menteri besar yang baharu, Dr Sahruddin Jamal.

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berkata, parti tersebut akan memberi sokongan dan kerjasama kepada Sahruddin supaya Johor berjaya sebagai sebuah negeri yang maju serta kesejahteraan rakyatnya terjaga.

Menurutnya, beliau mewakili DAP Johor buat masa ini juga belum dimaklumkan untuk menghantar nama calon bagi senarai Ahli Mesyuarat Kerajaan Johor yang baharu.

"(Senarai baharu Exco) Itu terpulang kepada perancangan menteri besar. (DAP dan parti lain perlu menghantar nama) Itu belum dimaklum lagi.

"Kami belum tentukan apa cara yang beliau inginkan, saya tunggu cadangan menteri besar," katanya kepada pemberita selepas sidang media susulan pelantikan Menteri Besar Johor baharu di Pejabat PH Johor di sini hari ini.

Chin Tong berkata, dengan pelantikan Sahruddin sebagai Menteri Besar Johor ke-17, DAP menerima dan memandang ke hadapan perkara itu malah menyifatkan ia sebagai suatu permulaan.

"Kami harap semua boleh memberi sokongan kepada Dr Sahruddin," katanya.

Selain itu, beliau juga sekali lagi berterima kasih kepada ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga bekas Menteri Besar Johor di atas sumbangan diberikan selama ini.

"Saya nak nyatakan kemenangan di Johor ini, sumbangan Datuk Osman Sapian begitu besar kerana saya bekerjasama dengan beliau sebelum pilihan raya.

"Johor adalah negeri pertama yang mengagihkan kerusi DUN tanpa masalah (di bawah kepimpinan Osman)," katanya.

Chin Tong berkata, susulan kemenangan PH di Johor khususnya pasca PRU14, pakatan tersebut berjaya menubuhkan kerajaan di peringkat Pusat.

"Johor adalah negeri yang paling penting untuk PH di Semenanjung dan siapa menang Johor, boleh menguasai Putrajaya," katanya.

PH Johor masih dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan sebelum ini, jawatan tersebut pernah dimangku oleh Osman buat sementara waktu.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia