Bawa Assange pulang

Assange ditahan polis Britain di kedutaan Equador di London, Khamis lalu.
Assange ditahan polis Britain di kedutaan Equador di London, Khamis lalu.
A
A
A

SYDNEY - AUSTRALIA. Bapa kepada pengasas WikiLeaks, Julian Assange merayu kepada kerajaan Australia supaya membawa pulang anaknya yang kini ditahan di London, England.

John Shipton dilaporkan melawat Assange setiap perayaan Krismas di kedutaan Equador di London sejak 2012.

Assange ditahan polis Britain minggu ini selepas Equador menarik balik suaka yang diberikan kepadanya.

"Jabatan Luar Negeri (DFAT) dan perdana menteri (Scott Morrison) perlu melakukan sesuatu.

"Ada beberapa rundingan antara senator dan pegawai kanan DFAT untuk mengekstradisi Julian ke Australia," katanya kepada Herald Sun, hari ini.

Dalam pada itu, Shipton mengakui terkejut selepas melihat keadaan anaknya semasa diheret keluar dari kedutaan Equador di London pada Khamis lalu.

"Keadaannya tidak terurus semasa dia diheret oleh anggota polis. Lihatnya penampilannya, dia seperti bukan berusia 47 tahun. Ia sesuatu yang mengejutkan.

"Selama berbulan-bulan dia hidup seperti seorang banduan di penjara kawalan keselamatan maksimum.

Artikel Berkaitan:

"Setiap pergerakannya diperhatikan, malah hendak ke tandas sekali pun dia diawasi," ujar Shipton.

Sebelum ini, Morrison memberi jaminan bahawa Assange akan menerima sokongan yang sama seperti diterima mana-mana warganegara Austrlia yang berdepan masalah di luar negara.

Assange didapati bersalah oleh mahkamah Britain atas tuduhan melanggar syarat ikat jamin pada 2012 dan berdepan hukuman penjara setahun.

Amerika Syarikat (AS) kini menuntut ekstradisi terhadap Assange berikutan tuduhan membocorkan maklumat sulit kerajaan AS dengan bekas penganalisis perisikan, Chelsea Manning pada 2010. - AFP