Masih banyak kenderaan e-hailing tidak diperiksa Puspakom

Shukor (dua dari kiri) meninjau kenderaan e-hailing yang menjalani pemeriksaan.
Shukor (dua dari kiri) meninjau kenderaan e-hailing yang menjalani pemeriksaan.
A
A
A

PETALING JAYA - Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) menyarankan semua operator e-hailing di negara ini menjalani pemeriksaan kenderaan segera sebelum kerajaan menguatkuasakan undang-undang bagi perkhidmatan itu pada Julai ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shukor Ismail berkata, buat masa ini, jumlah kenderaan e-hailing yang sudah menjalani pemeriksaan adalah sangat rendah berbanding bilangan anggaran kenderaan perkhidmatan itu yang beroperasi di negara ini.

"Sejak 1 hingga 10 April lalu, hanya 35 buah kenderaan e-hailing meliputi 0.02 peratus daripada anggaran 200,000 buah kenderaan di seluruh negara menjalani pemeriksaan Puspakom.

"Operator e-hailing hanya mempunyai tempoh masa kurang tiga bulan dari tarikh penguatkuasaan yang bermula 13 Julai ini," katanya selepas Majlis Taklimat Media Pemeriksaan Kenderaan E Hailing di Puspakom Petaling Jaya di sini, hari ini.

Berikutan itu, Shukor menasihati semua pemandu dan operator e-hailing tidak menunggu saat akhir bagi membawa kenderaan mereka untuk menjalani pemeriksaan Puspakom.

Kakitangan Puspakom sentiasa bersiap sedia bagi menjalankan pemeriksaan terhadap kenderaan e-hailing
Kakitangan Puspakom sentiasa bersiap sedia bagi menjalankan pemeriksaan terhadap kenderaan e-hailing

"Langkah ini bagi menggelakkan sebarang masalah seperti tidak mendapat kelulusan dalam garis masa ditetapkan dan kesesakan di saat akhir," katanya.

Dalam pada itu, menurutnya buat masa ini, pengguna yang belum mengikuti kursus atau memiliki lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (SPV) juga boleh menjalani pemeriksaan di Puspakom terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

Shukor berkata, Puspakom bersiap sedia bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dengan menyediakan 54 daripada 56 pusat pemeriksaan di seluruh negara khusus buat perkhidmatan e-hailing.

"Lanjutan waktu operasi juga selama tujuh hari seminggu turut dilaksanakan di 19 cawangan terpilih bertujuan bagi melancarkan proses pemeriksaan perkhidmatan e-hailing.

"Kami berharap pemandu perkhidmatan e-hailing dapat hadir ke cawangan Puspakom pada Sabtu dan Ahad, di samping waktu tambahan pada hari biasa bagi menjalani pemeriksaan kenderaan mereka," katanya.

Pada Jun tahun lalu, Kementerian Pengangkutan mengumumkan perkhidmatan e-hailing akan tertakluk kepada peraturan dan perundangan yang berkesan.

Selain itu, industri e-hailing juga turut diberi moratorium dalam tempoh setahun yang berkuatkuasa 12 Julai tahun lalu bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan dan perundangan ditetapkan.

Malah, kenderaan e-hailing yang berusia tiga tahun ke atas juga tertakluk kepada pemeriksaan kenderaan tahunan bermula 12 Julai 2019.