6 anggota lemas di Puchong adalah insiden tak dijangka, kata Zuraida

No Image Caption
A
A
A

AMPANG - Jawatankuasa Siasatan berhubung kes kematian enam anggota bomba ketika operasi mencari dan menyelamat di lombong Taman Putra Perdana, Selangor pada 3 Oktober lalu, bersependapat bahawa insiden itu adalah kejadian yang tidak dijangka.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, ia berpunca daripada pelbagai faktor yang wujud sebelum dan semasa kejadian yang merangkumi beberapa aspek.

"Antara aspek tersebut adalah persekitaran, manusia, peralatan, polisi/prosedur dan faktor-faktor lain. Jawatankuasa tersebut turut melaporkan punca insiden ini adalah ketiadaan sistem penyiasatan insiden lemas dan langkah pencegahan yang bersepadu sebelum ini.

"Selain itu, risiko dinamika 'low head dam' (LHD) yang kurang diketahui oleh orang awam. Ini kerana, morfologi LHD yang kelihatan tenang dan tidak berbahaya sedangkan ia amat berisiko tinggi," katanya.

Menurutnya, selain itu kurangnya kefahaman anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang terlibat terhadap risiko dinamika LHD turut mengakibatkan insiden malang tersebut berlaku.

"Laporan tersebut memaklumkan berlakunya kekeliruan komunikasi dalam kalang kalangan pasukan penyelamat, manakala pelan tindakan kecemasan tidak berfungsi seperti dirancang," katanya.

Zuraida berkata, berdasarkan fakta siasatan dan penelitian, jawatankuasa mendapati tiada unsur kecuaian atau pelanggaran standard operasi prosedur (SOP) yang disengajakan oleh anggota ketika itu.

"Oleh itu, Kementerian serta agensi yang terlibat akan melaksanakan penambahbaikan sebagaimana cadangan jawatankuasa ini antaranya mengkaji semula atau menambah baik reka bentuk LHD.

Artikel Berkaitan:

"Ia perlu mengambil kira pelbagai aspek keselamatan orang awam dan alam sekitar serta mengikut piawaian keselamatan bagi meminimumkan dinamika risiko LHD," katanya.

Menurutnya, cadangan lain termasuk menaik taraf peralatan dan kelengkapan unit khas, Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) bagi membolehkan anggota memberi perkhidmatan yang terbaik.

"Pihak berkuasa tempatan (PBT) akan melaksanakan langkah-langkah keselamatan dan pencegahan seperti pemasangan pagar dan papan tanda amaran agar insiden lemas dapat diminimumkan.

"Mereka (PBT) atau pihak bertanggung jawab terhadap kawasan LHD, kawasan rekreasi dan badan air yang berisiko perlu mewujudkan sistem penyiasatan insiden kelemasan secara bersepadu dengan segera," katanya.

Zuraida berkata, semua maklumat berhubung penemuan penyiasatan perlu disebarkan dan dikemukakan kepada semua agensi berkaitan dalam tempoh bersesuaian supaya langkah pencegahan berkesan dapat dilaksanakan," katanya.

"Latihan kolaborasi strategik antara agensi penyelamat akan dilaksanakan segera. Ini bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan koordinasi dan komunikasi inter dan intra agensi dalam sesuatu operasi menyelamat.

"Kita akan menyemak semula SOP dan garis panduan sedia ada. SOP terutama menyelamat di air berisiko tinggi juga perlu dibangunkan merangkumi LHD, kolam air panas, kawasan air tercemar dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, pihaknya juga akan memperkasakan peranan Majlis Keselamatam Aktiviti Air bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap keselamatan aktiviti di air.

Dalam kejadian itu, enam anggota PPDA maut ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang lemas di Lombong Taman Putra Perdana.

Empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang terbabit, Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25 dan Yahya Ali, 24, manakala dua lagi anggota dari BBP Shah Alam ialah Adnan Othman, 33 dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.