Jelebu, Kuala Kelawang bukan jaringan untuk kereta api laju

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Jajaran baharu yang diperkenalkan untuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) melibatkan Jelebu dan Kuala Kelawang, Negeri Sembilan dianggap bukan jaringan yang menarik untuk projek kereta api laju.

Pakar Pengangkutan Awam dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Madya Dr Syahriah Bachok berpendapat, dua kawasan tersebut mempunyai populasi penduduk tidak ramai, justeru jika masih mahu diteruskan ia memerlukan pemangkin di kawasan itu bagi menarik orang awam menggunakan ECRL pada masa akan datang.

“Jika jajaran baharu tersebut hendak digunakan untuk kemudahan pengangkutan barang, ia tiada masalah, tapi bukan pengangkutan awam.

“Jajaran di Pantai Timur juga tiada masalah, tetapi jika ECRL nak masuk Jelebu dan Kuala Kelawang, perlu sediakan pemangkin,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, keputusan menggugurkan stesen sebelum ini di Bentong, Karak dan Gombak juga dilihat tidak sepatutnya berlaku kerana ia merupakan kawasan tumpuan penduduk.

ARTIKEL BERKAITAN: ECRL diteruskan dengan pengurangan kos RM21.5 bilion

ECRL diteruskan dengan jajaran baru

Semalam, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan yang juga wakil khas Perdana Menteri, Tun Daim Zainuddin mengumumkan projek ECRL disambung semula pembinaannya yang meliputi jajaran baharu dengan jarak landasan dikurangkan sebanyak 40 kilometer.

Artikel Berkaitan:

Beberapa stesen akan turut digugurkan pembinaannya seperti Gombak, manakala jajaran baharu Jelebu, Negeri Sembilan diperkenalkan.

Beliau yang pernah turut serta dalam kajian projek kereta api seperti Express Rail Link Sdn Bhd (ERL), KTM Komuter dan Prasarana Malaysia, mengakui jajaran yang baharu diperkenalkan semula untuk ECRL, tidak tepat.

“Berbanding kereta api yang pernah saya turut serta dalam perancangannya, semua jajarannya tepat. ECRL ini, jika tidak memasuki kawasan perumahan, maka pengguna masih perlu menggunakan kenderaan lain dahulu sebelum sampai ke stesen tersebut," jelasnya.

Dalam pada itu, Syahriah berkata, sebagai pencinta pengangkutan awam, beliau akui menyokong usaha meneruskan ECRL tersebut namun agak terkilan dengan perubahan jajaran yang memasuki kawasan terlalu luar bandar yang pada hitungannya dalam masa 20 hingga 30 tahun akan datang, projek tersebut belum pasti dapat pulangan yang disasarkan.

“Projek ECRL itu jika diteruskan perlu mendapat pulangan dalam penumpang yang maksimum sehari untuk mendapatkan keuntungan.

“Jika tidak, mungkin sehingga tahun 2050, pulangan pelaburan itu tidak akan berjaya diperolehi,” katanya.